Harimau Selatan lebarkan jurang mata

2854

Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menang tipis 1-0 ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengutip 23 mata selepas sembilan perlawanan dan berkelebihan lima mata ke atas pencabar terdekat, Pahang yang bakal berdepan PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam esok.

Pada aksi di Stadium MBPJ, penyerang Muhammad Syafiq Ahmad meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-26 selepas menerima umpanan daripada Muhammad Safawi Rasid.

Wakil Perak, PKNP FC pula naik tiga anak tangga ke kedudukan ketujuh selepas menewaskan Melaka 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak.

Gol tunggal perlawanan dihasilkan oleh pemain pertahanan Melaka,  Ahmad Khuzaimi Piee yang tertolak bola masuk ke dalam gawang sendiri pada minit ke-65.

Dalam pada itu, Felda United gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Pada perlawanan berkenaan, Abdul Azim Rahim meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-34, sebelum Kapten Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-56 setelah menolak masuk hantaran daripada Azmi Muslim.

Dalam saingan Liga Premier, Sabah mengekalkan kedudukan kedua liga walaupun seri 1-1 dengan UiTM FC pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Rodoljub Paunovic pada minit ke-49, sebelum Robert Lopez Mendy menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-83.

UKM FC dan Selangor United turut meraih satu mata selepas seri 2-2 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol skuad ‘Varsity Boys’ terhasil menerusi gol sendiri pemain pelawat, Ridzuan Kamis pada minit ke-38 dan Mateo Roskam pada minit ke-89, manakala dua gol Selangor United disumbangkan oleh Ranggi Oftawan Osman pada minit ke-54 dan Mohamad Yazid Zaini pada minit ke-74.

Sementara itu, Terengganu FC II (TFC II) tewas mengejut 1-2 kepada pasukan bawahan, Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada perlawanan berkenaan, TFC II terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang berbisanya, Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-15, sebelum skuad Bujang Senang bangkit melakar dua jaringan menerusi penyerang import dari Brazil, Hudson Dias de Jesus pada minit ke-38 dan minit ke-74.

Komen anda