Harimau Selatan singkir Tok Gajah dari takhta liga

270

JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menerajui carta liga selepas menang bergaya 3-0 ke atas PKNP FC  di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam semalam.

 

Kemenangan kelima dari enam perlawanan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan rekod tanpa kalah dan mengutip 16 mata, dengan pencabar terdekat Pahang ketinggalan dua mata di tangga kedua.

 

Tiga gol JDT dijaringkan oleh Leandro Velazquez pada minit ke-27 serta sepakan penalti Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera, masing-masing minit ke-36 dan 41.

Terdahulu, PKNP FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten pasukan, Ahmad Sukri Ab Hamid dilayangkan  kad merah oleh pengadil, Khirulazuan Kidam kerana mengasari pemain tuan rumah pada minit ke-73.

 

PKNS FC pula naik dua anak tangga ke kedudukan keempat liga setelah menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Romel Morales pada minit ke-23 dan Tamirlan Kozubaev pada minit ke-46.

 

Terengganu FC pula menang bergaya 3-0 ke atas Melaka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, hasil jaringan Nasrullah Hanif Johan pada minit ke-23, Sanjar Shaakhmedov (41′) dan pemain gantian, Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-73.

 

Perak turut meraih tiga mata di laman sendiri selepas mengatasi Petaling Jaya City FC 1-0 di Stadium Perak, hasil sepakan penalti Wander Luiz pada minit ke-39.

 

Dalam saingan Liga Premier, Sabah  mengekalkan kedudukan kedua liga walaupun seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 

Pulau Pinang pula bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk menewaskan pasukan meningkat naik, Selangor United 2-1 di Stadium Bandaraya.

 

Kapten Selangor United, Rizal Fahmi Rosid Ab Rosid terlebih dahulu meletakkan pelawat di depan pada minit ke-16, sebelum skuad Harimau Kumbang bangkit meledak dua gol menerusi Dhiyaulrahman Hasry pada minit ke-55 dan 64.

 

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM)  pula terus ditimpa malang setelah kalah 0-1 kepada UKM FC di Stadium  Selayang.

 

Gol tunggal perlawanan dijaringkan  pemain import dari  Iran, Milad Zeneyedpour minit ke-88. – Bernama

 

Diogo merampas bola daripada pemain PNKP FC, Amani Manual Aguinaldo pada perlawanan Liga Super, JDT menentang PKNP FC di Larkin.

Komen anda