Harimau Selatan tetap tenang…

757
Foto: JOHOR Southern Tigers
ISU kecederaan beberapa pemain utama mula membelenggu penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi Piala Sumbangsih pembuka tirai saingan liga menentang Perak di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 2 Februari depan.
Menurut Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Luciano Figueroa yang dipetik dari laman JOHOR Southern Tigers berkata, beliau terpaksa merehatkan beberapa pemain utama kelab itu ketika melakar kemenangan 3-1 ke atas PTT Rayong FC  dalam aksi terakhir siri jelajah pramusim di Thailand.
Namun di sebalik dilema itu, pengendali berusia 37 tahun berkenaan tetap positif kelab dari selatan tanah air berkenaan berada pada landasan terbaik mengekalkan kejuaraan di bumi Merah Biru selepas menjinakkan Kedah 2-1 musim lalu.
“Segala perancangan kami berjalan lancar dan baik sama seperti perlawanan sebelum ini dengan  kami melakukan pertukaran pemain dalam skuad dan memberi Mauricio Nascimento peluang bermain separuh masa disebabkan dia belum pulih 100 peratus dari kecederaan, Aaron Niguez baru pulih kecederaan tapi belum 100 peratus pulih, Natxo Insa pula tidak diturunkan kerana turut cedera di bahagian belakang.
“Jadi, kami teruskan bermain untuk melengkapkan persiapan Harimau Selatan dalam pramusim ini,” katanya menerusi laman rasmi Facebook kelab itu.
Tambah Figueroa, pada masa ini beliau gembira dengan komitmen dan semangat juang tinggi dipamerkan pemain kelab Merah Biru berkenaan dalam aksi pramusim berkenaan.
“Kami tidak mahu terlalu memaksa pemain memberikan 100 peratus di padang kerana kami mempunyai kurang dua minggu sahaja lagi untuk mempersiapkan pasukan ini bagi perlawanan pertama  menentang  Perak.
“Kami kena pastikan tiada pemain cedera dan tidak mahu ambil risiko pemain mengalami lebih banyak kecederaan sebelum liga bermula,” katanya.
Terdahulu, skuad Harimau Selatan tewas aksi pertama menentang Ratchaburi Mitr Phol FC 1-2 sebelum bangkit mengikat naib juara Liga Satu Thailand musim lalu, Bangkok United 2-2.
Foto: JOHOR Southern Tigers

Komen anda