Hatrik Shahrel Fikri sahkan kemaraan Harimau Malaya

96

LEDAKAN hatrik Muhammad Shahrel Fikri mengesahkan kemaraan Harimau Malaya ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas membenam cabaran Timor- Leste dengan keputusan 5-1 pada aksi timbal balik pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kemenangan 5-1 yang diraih pada aksi bertenaga malam ini melengkapkan kemaraan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe dengan agregat 12-2 selepas menumpaskan lawan yang sama 7-1 pada aksi pertama, Jumaat lalu.

Kejayaan mengatasi Timor-Leste ini memastikan Malaysia berada diantara 40 pasukan terbaik Asia yang dibahagikan kepada lapan kumpulan (lima pasukan setiap kumpulan) dan akan berlangsung selama sembilan bulan untuk 10 hari perlawanan dari 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020.

Pada perlawanan yang berlangsung sebentar tadi, Harimau Malaya merehatkan tiga tonggak utama iaitu , Farizal Marlias, Corbin Ong dan Safawi Rasid yang beraksi pada Jumaat lalu dengan menggantikan Mohd Ifwat Akmal, Muhammad Syazwan Andik serta Muhammad Akhyar Rashid.

Harimau Malaya tidak menunggu lama untuk merobek gawang Timor-Leste apabila Shahrel Fikri menyempurnakan hantaran dari Akhyar pada minit ke 11 sebelum penyerang Perak itu meledak gol kedua buat pasukan selang enam minit kemudian.

Timor-Leste yang beraksi sebagai tuan rumah pada malam ini seharusnya merapatkan jurang pada minit ke 29 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohd Ifwat menjatuhkan Rufino Walter Gama namun ketua pasukan, Joao Da Silva gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Harimau Malaya yang terus memberi tekanan kepada Timor-Leste terus selesa dihadapan apabila Mohamadou Sumareh menjaringkan gol pada minit ke 36 menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Fernandes Aderito Raul buat kali ketiga.

Memasuki babak kedua, Harimau Malaya terus garang memburu jaringan melalui gerakan yang dijelmakan Sumareh, Norshahrul Idlan Talaha, Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri.

Usaha tersebut akhirnya membuatkan hasil apabila gerakan satu dua, Norshahrul Idlan dengan Akhyar dimanfaatkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bijak memperdayakan dua pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan leret menewaskan Fernandes Aderito.

Belum puas dengan empat gol yang terhasil, anak didik Cheng Hoe terus mengasak kubu lawan sebelum Malaysia dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke 58 selepas larian Akhyar dijatuhkan dalam kotak penalti namun Shahrel Fikri gagal meletakkan bola dalam gawang tuan rumah apabila sepakannya ditepis Fernandes Aderito.

Selang enam minit kemudian Shahrel Fikri menebus kesilapannya diatas kegagalan menyempurnakan sepakan penalti apabila meledak gol hatrik buat dirinya dan gol kelima Harimau Malaya.

Seakan-akan berpuas hati dengan lima gol yang terhasil, barisan pemain Malaysia dilihat mula memperlahankan corak permainan dan ini memberi ruang kepada Timor- Leste untuk mengatur gerakan memburu gol dan akhirnya mereka berjaya memperolehi gol tunggal hasil jaringan Rufino Walter Gama yang menanduk masuk menewaskan Mohd Ifwat pada minit ke 70.

Keputusan 5-1 ini kekal sehinggalah tamat perlawanan apabila pengadil dari Jepun, Yusuke Araki meniupkan wisel penamat yang disambut sorakan kegembiraan pemain Harimau Malaya dan 12,776 pemain ke-12 yang hadir ke stadium memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.

Komen anda