‘Hentikan spekulasi masa depan Chong Wei’

108
CHONG WEI

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung masa depan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dilaporkan berhasrat menggantung raket sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau menegaskan sekarang bukan masa yang sesuai untuk membincangkan perkara berkenaan memandangkan Chong Wei sendiri masih membisu mengenai masa depannya setelah sembuh daripada kanser hidung yang dihidapinya pada tahun lalu.

“Kita tunggu dahulu keputusan dari beliau dan berikan beliau ruang yang secukupnya untuk membuat keputusan kerana beliau sudah banyak menyumbang untuk negara,”katanya ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan sebelum menyambut ketibaan skuad memanah para negara dari Belanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Turut hadir menyambut skuad berkenaan adalah Timbalannya, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Chong Wei dijangka akan mengumumkan persaraannya minggu depan selepas 19 tahun mencurah bakti dalam sukan badminton.

Dalam perkembangan berasingan, Syed Saddiq berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk mengisi jawatan Pesuruhjaya Sukan, namun menegaskan setiap permohonan berkenaan akan ditapis bagi memastikan hanya calon yang layak sahaja mengisi jawatan berkenaan.

Kerusi Pesuruhjaya Sukan kosong setelah penyandangnya, Datuk Zaiton Othman menamatkan khidmatnya pada 8 Mac lepas selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

“Sekarang kita sudah buka permohonan dan kita akan melalui wawancara yang telus, sebelum nama calon sesuai dimuktamadkan.

“Paling penting, kita mendapat calon yang sesuai kerana kita tidak mahu main lantik sahaja ikut kuasa menteri,”jelas Syed Saddiq.

Sementara itu, beliau menyokong keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini yang mencapai persetujuan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis bagi menangani kemelut yang melanda persatuan sukan kebangsaan.

Beliau menegaskan penubuhan jawatankuasa berkenaan tidak bercanggah dengan fungsi Pejabat Pesuruhjaya Sukan memandangkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam membantu persatuan sukan kebangsaan memberi idea dalam menyelesaikan kemelut persatuan sukan di negara ini.

Komen anda