Hodak kena bertanggungjawab  

526

PENGENDALI skuad Bawah 19 Tahun negara, Bojan Hodak bakal berdepan hukuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kenyataan pengendali dari Croatia itu yang mempertikaikan sistem bola sepak negara selepas skuad bimbingannya mengalami dua kekalahan berturut-turut pada saingan Piala Sanix di Global Arena, Fukuoka.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusof Mahadi berkata, Hodak perlu bertanggungjawab dengan memberikan penjelasan kepada badan induk itu berikutan kenyataan berkenaan.

“Kami kesal dengan kenyataan tersebut selepas skuad bimbingannya tewas dalam dua perlawanan sebelum ini, Hodak perlu bertanggungjawab dan sebagai seorang jurulatih profesional dia tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kita dapat lihat kejayaan dibawah bimbingannya sebelum ini semasa Piala AFF, masa pasukan mencapai kejayaan dia tidak menyalahkan sistem bola sepak negara tetapi bila kalah sebaliknya. FAM akan lihat dan bincang situasi ini secara serius dan memikirkan tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Mohd Yusoff turut memaklumkan, Hodak seharusnya memikirkan jalan bagi menyelesaikan masalah ini dan bukan menyalahkan pihak lain susulan prestasi dipamerkan pasukannya.

“Sebaliknya dia boleh berbincang dengan Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo. Bukannya beri kenyataan yang seolah-olah mengelak daripada bertanggungjawab,” jelasnya.

Sebelum ini skuad negara tewas kepada Sekolah Tinggi Aomori Yamada (0-2) dan Kelab Sagantosu (0-5) pada hari pertama kejohanan dan terbaharu kecundang kepada Sekolah Tinggi Ohzu (0-1) sekali gus menjadikan kekalahan hatrik.

Komen anda