Hoki Piala Asia Dalam Dewan: Skuad lelaki akur kekuatan Iran, skuad wanita mara separuh akhir

79

SKUAD lelaki negara mengalami kekalahan pertama dalam Kejohanan Hoki Piala Asia Dalam Dewan 2019 selepas tewas 4-1 kepada juara bertahan, Iran, dalam saingan Kumpulan A di Chonburi, Thailand semalam.

Ini kekalahan pertama skuad kendalian Megat Azrafiq Megat Termizi selepas menewaskan Bangladesh 6-0 pada perlawanan pembukaan, Isnin lalu dan berpesta gol 20-1 ke atas Filipina dalam perlawanan kedua, Selasa lalu.

Bagaimanapun, Malaysia perlu mengatasi tuan rumah, Thailand, hari ini untuk melangkah ke separuh akhir.

Dalam pada itu, Iran mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan sudut penalti oleh Reza Norouzzadeh sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-19 menerusi jaringan padang Mohammad Asnaashari.

Malaysia merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten, Mohd Hanip Che Halim pada minit ke-28 sebelum Iran bangkit pada 10 minit terakhir perlawanan untuk menambah jaringan menerusi jaringan peribadi kedua Reza pada minit ke-35 dan Hamid Nooranian pada minit ke-40.

Sementara itu, skuad wanita negara mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Taiwan 2-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan B.

Kedua-dua gol tersebut hadir pada babak kedua perlawanan menerusi jaringan padang Siti Arfah Mohd Nor pada minit ke-23 dan Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-30.

Malaysia membuka kempen dengan mengalahkan Singapura 4-0, Isnin lalu sebelum kalah 2-1 kepada Thailand kelmarin.

Juara dan dan naib juara lelaki serta juara wanita akan memperoleh tiket ke Hoki Piala Dunia Dalam Dewan 2021.

Komen anda