Hormati keputusan Kizierowski

254

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghormati keputusan dibuat bakal jurulatih baharu skuad renang negara, Bartlomiej Kizierowski yang mengambil tindakan menolak tawaran daripada Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) atas alasan Malaysia melarang atlet Israel memasuki negara ini.

Menurutnya, Majlis Sukan Negara (MSN) masih mempunyai barisan jurulatih tempatan yang akan mengambil alih dalam membimbing atlet renang negara sambil mencari jurulatih baharu.

“Kita masih ada pilihan tetapi apa yang paling penting kita masih hormati pendirian beliau (Kizierowski) kerana larangan ke atas atlet Israel itu adalah dasar negara yang sejak sekian lamanya dihormati di negara ini.

“Malah dasar ini akan kita teruskan serta diperkasakan pada masa akan datang dan isu ini adalah isu yang dekat dengan rakyat Malaysia dan pendirian ini seharusnya dihormati oleh semua pihak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Universiti Telnologi MARA dan MSN bagi program ‘Malaysian Athlete Career and Education (MACE) semalam.

Terdahulu Kizierowski membuat kenyataan menolak tawaran itu secara terbuka menerusi laman sosial Facebook peribadinya baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program MACE, Syed Saddiq menyambut baik usaha dilakukan UiTM dan MSN yang dilihat dapat menggalakkan lebih ramai atlet dan bekas atlet untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi tanpa perlu mengorbankan karier sukan mereka.

Katanya, program seupama itu merupakan salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan kepada MSN tahun lalu di mana mereka perlu mengadakan kolaborasi dengan universiti di setiap negeri dengan konsep ‘One State, One Univeristy, One Center’.

“Sebelum ini kita sudah adakan kerjasama dengan lima universiti serta tambahan dua lagi universiti tahun lepas dan kini tambahan 14 daripada UiTM termasuk di Kelantan,” katanya.

Komen anda