Hutang lapuk RM6.2 juta dijangka diselesaikan pertengahan 2020 – KAFA

65

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjangkakan hutang lapuk persatuan berkenaan berjumlah RM6.2 juta dapat diselesaikan menjelang pertengahan tahun depan.

 

 

Jaminan itu disuarakan presiden baharu KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang menggantikan pemimpin tertinggi persatuan berkenaan, Bibi Ramjani Ilias Khan, selepas majlis menandatangani satu memorandum perjanjian dengan syarikat swasta, MQ Technology Berhad, semalam.

 

 

Wan Abdul Rahim berkata melalui perjanjian itu, KAFA akan membuat pembayaran secara berperingkat bagi melancarkan proses pelesenan kelab yang perlu diselesaikan sebelum 31 Oktober ini.

 

 

“Bayaran pertama akan diselesaikan pada 15 September  Kita tidak perlu bayar semua sekali gus dan kita akan lakukan pembayaran seterusnya secara berjadual pada setiap bulan. Kebanyakan pemain dan jurulatih bersetuju dengan proses pembayaran ini,” katanya.

 

 

Beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga bersetuju untuk membenarkan KAFA membuat pembayaran awal berjumlah RM113,000, dan seterusnya pembayaran berjadual secara bulanan.

 

 

Menurut Wan Abdul Rahim, jumlah keseluruhan RM6.2 juta itu melibatkan hutang dan tunggakan terkumpul sejak 1998 melibatkan gaji pemain dan jurulatih serta badan kerajaan seperti LHDN, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

 

 

Mengenai perancangan skuad Kelantan, Wan Abdul Rahim berkata KAFA berhasrat untuk mencari pemain import dari Cameroon bagi memperkuatkan benteng pertahanan pasukan itu.

 

 

“Kita mengharapkan musim 2020 kita masih boleh bermain dalam Liga Premier dan tahun seterusnya kembali ke Liga Super.

 

 

“Kelantan mempunyai pemain yang bagus namun kita kekurangan pemain import. Kita berhasrat untuk cari pemain dari Cameroon memandangkan kebanyakan mereka berpengalaman beraksi pada Piala Dunia dan Liga Eropah,” katanya.

 

 

Sementara itu, sebuah syarikat bagi menguruskan pasukan Kelantan pada musim depan, The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd  ditubuhkan melalui perjanjian berkenaan, di mana KAFA akan memegang 30 peratus saham syarikat manakala MQ Technology Berhad sebanyak 70 peratus.

 

 

Melalui perjanjian dan penubuhan syarikat berkenaan, MQ Technology Berhad akan membuat bayaran sebanyak RM3 juta sebagai modal berbayar kepada TRW Sdn Bhd dan 30 peratus daripada jumlah itu diberikan kepada KAFA sebagai sumbangan ihsan.

Komen anda