Ijezie tunggu kelulusan FAM

216
Michael Ijezie (Foto : FB UKM FC)

SELEPAS Mohamadou Sumareh mendapat status pemain naturalisasi negara Oktober tahun lalu, kini giliran pemain import The Varsity Boys, Michael Ijezie menjadi pemain kedua dan hanya menunggu kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jurulatih UKM FC, Sulaiman Husin berkata, segala dokumen telah lengkap dan diserahkan kepada badan induk bola sepak negara dan kini dalam proses penilaian sebelum keputusan akhir diputuskan FAM sama ada pemain kelahiran Nigeria tersebut layak atau sebaliknya untuk menjadi pemain naturalisasi kedua negara.

“Segala dokumen yang dilengkapkan oleh agen Ijeze telah pun diserahkan kepada FAM sebagai permohonan untuk mendapatkan status naturalisasi negara.

“Saya boleh katakan kini ia berada pada peringkat terakhir kerana segala dokumen yang diperlukan telah pun kami penuhi seperti mana yang diperlukan FAM.

“Buat masa ini, kami hanya menunggu kelulusan dan kata putus daripada FAM sahaja berkenaan status Ijeze sama ada layak atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas aksi pusingan ketiga Piala FA 2019.

Sementara itu, Ijeze yang ditemui mengakui prosesnya untuk menukar status kepada pemain naturalisasi negara telah berjalan dengan baik dan positif.

“Sekarang saya sedang menunggu keputusan daripada FAM dan semuanya telah berjalan dengan baik dan positif.

“Apa pun saya serahkan segalanya kepada FAM dan enggan terlalu memikirkannya kerana tidak mahu fokus dan permainan saya di atas padang terjejas dengan perkara tersebut,” katanya.

Untuk rekod, pemain berusia 32 tahun ini telah menjaringkan 17 gol dalam 19 penampilannya bersama UKM FC sebelum ini pernah beraksi untuk MISC-MIFA dan kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC serta menetap di Malaysia selama sembilan tahun.

Komen anda