Impak positif jalinan kerjasama SIC, ISN

187

JALINAN kerjasama sebagai rakan strategik yang julung kali diadakan antara Sepang International Circuit (SIC) dan Institut Sukan Negara (ISN) mula menunjukkan impak positif.

 

Biarpun tempoh kerjasama dalam bidang perkhidmatan sukan berprestasi tinggi bagi sukan permotoran itu masih baru, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali mendedahkan ia memberi kesan terhadap prestasi terkini pelumba di bawah Program Pembangunan Bakat SIC.

 

Jelasnya, impak itu dapat dilihat terhadap pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin apabila pasukan Hong Leong Yamaha yang beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini memuji tahap prestasi ditampilkan pelumba muda itu.

 

“Sebulan mungkin tidak cukup untuk kita membuat penilaian penuh tetapi berdasarkan laporan di ARRC, pelumba kita seperti Kasma begitu cergas berbanding tahun sebelum ini.

 

“Saya juga menerima maklum balas daripada pasukan Hong Leong Yamaha bahawa mereka melihat pelumba-pelumba kita kali ini lebih mantap dan bersedia untuk berlumba,” katanya kepada media ketika meninjau sesi latihan pelumba negara di ISN di sini, semalam.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Zawawi Zakaria berkata berdasarkan perancangan dibuat, pihaknya menjangkakan peningkatan dalam beberapa aspek utama, namun menegaskan hasil daripada usaha tersebut bergantung kepada pelumba itu sendiri.

 

“Kita jangkakan ada peningkatan di setiap parameter yang melibatkan kekuatan, fleksibiliti dan tahap kecergasan sekiranya pelumba patuh dan konsisten mengaplikasikan latihan diberikan,” katanya.

 

Skop dan kerjasama strategik berkenaan antaranya ISN bersetuju memberi perkhidmatan sukan prestasi tinggi dengan merancang dan melaksanakan program-program berteraskan aspek sains dan perubatan sukan kepada barisan pelumba Petronas Sepang Racing Team dan pelumba di bawah Program Pembangunan Bakat SIC dan Impian Ke MotoGP (IKM).

Mengulas lanjut, Razlan optimis sekiranya barisan pelumba negara terus diberikan pendedahan ia akan memberi kesan positif berpanjangan terutama terhadap keputusan perlumbaan.

 

“Kita tahu jika pelumba itu memang di tahap terbaik dan cergas, mereka akan hasilkan keputusan yang baik. Dalam situasi tekanan di atas jentera, jika anda tidak berada di tahap terbaik dan cergas anda cenderung untuk melakukan kesilapan.

 

“Jadi, kita berusaha menjadikan mereka pelumba sebaik mungkin untuk meminimumkan kesilapan dilakukan mereka,” katanya.

Komen anda