‘Ini bukan peluang terakhir kami’

235

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyangkal segala kritikan dilemparkan kepada The Reds yang dalam misi memburu trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, prestasi Liverpool dilihat mula merosot sehingga menyaksikan mereka sekadar seri dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir.

Situasi itu sekali gus menambah tekanan buat anak-anak buah Klopp bagi mengakhiri penantian panjang sejak kali terakhir The Reds muncul juara EPL pada 1990.

“Ia bukan peluang terakhir kami, itu adalah perkara terpenting. Ini merupakan peluang pertama kami. Ia ada perbezaan yang besar.

“Adakah ia satu-satunya peluang kami untuk bergelar juara? Saya tidak pasti. Dengan peluang pertama ini, kami perlu mencuba untuk melihat sama ada ia berjaya atau tidak.

“Adakalanya ia berjaya, adakalanya tidak. Ia bukan peluang terakhir kami, 100 peratus tidak,” kata pengendali kelahiran Jerman itu.

Sekalipun cukup ampuh di barisan pertahanan, trio serangan Liverpool diketuai Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firminho pula dilihat agak bergelut dengan prestasi mereka dalam beberapa perlawanan lalu.

Liverpool hanya mampu merekodkan lima gol dalam lima penampilan terakhir termasuk ketika mencatat keputusan tanpa jaringan dengan Manchester United di Old Trafford Ahad lalu.

Begitupun, Klopp mempersoalkan kritikan yang dilemparkan terhadap The Reds sambil mengatakan pasukannya juga terpaksa melalui waktu-waktu sukar.

“Jika kami menang 1-0, kami perlu menjawab mengapa kami tidak menang dengan keputusan yang lebih baik. Jika kami seri, kami perlu menjelaskan mengapa kami tidak menang 1-0.

“Akan ada juga situasi di mana jika anda tidak memiliki kelebihan 25 mata, ia akan menjadi musim yang sukar,” katanya.

Komen anda