Insentif barakan semangat ahli N9MC

93

SARINAH MAT KASIM

Komuniti Minimotor Negeri Sembilan (N9MC) memberi insentif berupa wang tunai kepada ahlinya bagi mengiktiraf pencapaian mereka dalam sukan lumba minimotor (pocketbike).

Pengerusi N9MC, Mohd Hasfi Mohd Fisha berkata, jawatankuasa kelab bersetuju memberikan insentif kepada ahli berdaftar melalui dua kategori iaitu insentif khas dan insentif podium.

Menurut Mohd Hasfi, insentif khas diberikan kepada ahli yang terpilih menyertai perlumbaan Minicubprix KBS 2018, manakala insentif podium pula diberikan kepada ahli yang berjaya mendapat podium pada perlumbaan yang dianjurkan oleh penggiat sukan ini di seluruh negara sepanjang 2018.

“Seramai 19 ahli berusia antara 5 hingga 12 tahun menerima insentif sebagai tanda sokongan dan penghargaan kelab ini terhadap pencapaian ahli dalam sukan lumba minimoto.

Diharapkan melalui sedikit insentif yang diberikan mampu menyuntik semangat pelumba untuk lebih maju dan berdaya saing dalam sukan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan insentif tersebut kepada ahli-ahli N9MC pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-2 di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu beberapa agenda turut dirancang dalam usaha mengasah bakat dan kemahiran ahli dalam perlumbaan.

“Selain latihan intensif setiap minggu, ahli-ahli juga akan diberikan latihan teknikal daripada jurulatih bertauliah.

“Di samping itu beberapa acara perlumbaan termasuk perlumbaan terbuka, drag, track day dan perlumbaan ‘pushbike’ juga dirancang bagi memenuhi program sepanjang tahun 2019,” katanya.

Pada masa sama, mesyuarat komuniti itu turut melantik jawatankuasa baharu bagi melaksanakan program dirancang selain penyampaian penghargaan kepada ahli jawatankuasa bagi sesi 2018.

Komen anda