Inter Milan buka lembaran baru karier bola sepak saya – Lukaku

29

PENYERANG Inter Milan, Romelu Lukaku menyifatkan suasana latihan di kelab baharunya itu sangat berbeza berbanding di pasukan lamanya, Manchester United.

Menurutnya, latihan di Inter lebih efektif dan mencabar buatnya selain yakin ia mampu mengoptimumkan prestasinya dalam setiap latihan

“Ia (latihan) sangat sukar dan berbeza. Di England saya perlu buat banyak latihan, tetapi di sini ia adalah latihan sebenar.

“Saya sangat serasi dan sukakan suasana di sini. Ia membuka kisah baru dalam karier bola sepak saya,” katanya.

Lukaku membuat keputusan untuk menyertai Inter dengan nilai €80 juta (RM374.6 juta) minggu lalu selepas kecewa dengan pengendali The Red Devils,

Ole Gunnar Solskjaer yang lebih gemar menggunakan khidmat Marcus Rashford di jentera serangan pasukan itu.

Pemain kelahiran Belgium itu bermain lapan musim di England bersama kelab Chelsea, West Brom, Everton dan Manchester United.

Dalam dua musimnya di Old Trafford, Lukaku menjaringkan 28 gol dalam 66 penampilan buat Red Devils.

Penyerang berusia 26 tahun itu juga telah menunjukkan impak bersama jagoan Itali berkenaan apabila menjaringkan empat gol dan perlawanan persahabatan menentang Virtus Bergamo hujung minggu lalu.

“Bandar ini sangat cantik. Sebenarnya saya tidak kisah untuk berada di mana sahaja kerana saya datang ke sini untuk membantu kelab memenangi kejuaraan,” katanya.

Lukaku akan memulakan saingan Serie A bersama Inter berdepan Lecce di San Siro pada 26 Ogos ini.

Komen anda