IPC batal hak Malaysia tuan rumah Renang Para Dunia 2019

634

JAWATANKUASA Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung mulai 29 Julai hingga 4 Ogos ini di Kuching.

Menurut IPC, keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat lembaga jawatankuasa itu di London setelah Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal memberi jaminan yang diperlukan bahawa perenang para Israel boleh mengambil bahagian, bebas daripada diskriminasi dan selamat semasa kejohanan itu.

Ia termasuk pematuhan sepenuhnya protokol IPC berkaitan lagu kebangsaan serta bendera dan penyediaan visa yang berkaitan, menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasminya, www.paralympic.org.

“Pergerakan Paralimpik telah dan sentiasa didorong oleh keinginan untuk memacu kemasukan, bukan pengecualian. Tidak kira negara yang terlibat dalam perkara ini, IPC akan mengambil keputusan yang sama jika ia menghadapi situasi yang sama walaupun melibatkan negara yang berbeza,” menurut kenyataan itu.

IPC juga menggalakkan semua yang berpotensi menjadi tuan rumah bagi kejohanan itu supaya menyatakan minat dalam penganjuran acara tersebut sehingga 11 Februari depan.

Presiden IPC Andrew Parsons berkata, Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.

“Apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu atas alasan politik, kami tidak tidak mempunyai pilihan kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu. Tidak kira negara yang terlibat dalam perkara ini, IPC akan mengambil keputusan yang sama jika berdepan situasi yang serupa melibatkan negara berbeza,

“Pada September 2017 semasa IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia (NPC Malaysia) untuk menjadi tuan rumah acara itu, kami mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak dibenarkan menyertai acara ini dengan jaminan keselamatan mereka.

“Bagaimanapun, terdapat perubahan kepimpinan politik dan kerajaan Malaysia yang baharu mempunyai idea berbeza. Politik dan sukan tidak pernah menjadi gabungan yang baik dan kami kecewa atlet Israel tidak dibenarkan bertanding di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan kejohanan berkenaan menjadi arena untuk kelayakan bagi Sukan Paralimpik Tokyo 2020, IPC akan mencari tuan rumah yang baharu tetapi berusaha untuk mengekalkan tarikh dan syarat kejohanan itu supaya tidak menganggu jadual atlet untuk mencapai tahap terbaik pada akhir Julai.

Kira-kira 600 perenang dari 60 negara dijangka mengambil bahagian dalam acara itu yang menawarkan lebih 160 pingat.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan mengambil pendirian yang tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada kejohanan itu, bagaimanapun Jawatankuasa Olimpik Israel membantah terhadap keputusan itu dan terus memberi tekanan kepada pihak penganjur untuk mengeluarkan visa kepada atlet mereka. – Bernama

Komen anda