Ipoh medan pemanas badan sebelum ke Vietnam

30

KESIBUKAN membuat persiapan menghadapi Kejohanan Terbuka Vietnam minggu depan bukan halangan kepada atlet olahraga negara Andre Anura Anuar mengambil bahagian pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2019 di sini.

Sebaliknya, Andre, 20, berkata kejohanan selama dua hari mulai semalam itu, dijadikan medan terbaik sebagai pemanas badan sebelum ke Vietnam, dan buktinya beliau berjaya merangkul emas dalam acara Lompat Kijang Lelaki.

Andre, dinobat sebagai juara selepas mencatat lompatan sejauh 15.39 meter (m), manakala perak milik Mohd Shah Sholihin dari Perak dengan jarak 14.20m dan gangsa milik Mohamad Shukor Ishak dari pasukan bebas.

“Ramai atlet negara tidak menyertai kejohanan di sini kerana mempunyai latihan lain bagi kejohanan di Vietnam, tetapi saya tetap hadir dan akan cuba buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Antara atlet negara yang pada awalnya dijadual mengambil bahagian pada kejohanan kali ini, namun tidak berbuat demikian adalah Queenie Ting Kung Ni (Lempar Cakera); Farm Loong Deng (Lontar Peluru) dan Muhammad Haikal Hanafi (larian 100m) kerana sibuk menjalani latihan menjelang Kejohanan Terbuka Vietnam.

Andre anak jati Sabah dari Tenom sebelum ini mencatat jarak 15.93m pada Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar April lalu menggondol emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 selepas melakukan lompatan sejauh 15.91m.

Anak didik Ahmad Firdaus Salim itu berkata, dia tidak menetapkan sebarang sasaran di Vietnam kelak, namun akan melakukan yang terbaik selain turut membuat persiapan bagi menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia Ogos depan.

Andre berkata, dia telah menamatkan program prauniversiti selama dua tahun di Sekolah Sukan Bukit Jalil, dan bercadang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Komunikasi Massa di Universiti Putra Malaysia pada September depan.

Sementara itu, atlet lempar cakera wanita negara, Connie Choo Kang Ni, 25, meraih emas selepas mencatat balingan sejauh 43.78m, manakala perak diraih Nur Atiqah Sufiah Md Hanizam dari pasukan Quantum Athletics dengan catatan 39.57m, dan gangsa dimiliki Wan Putri Irdina Zulkarnain yang mewakili Majlis Sukan Negara Selangor (33.22m).

Pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang lebih mesra dipanggil Connie itu berkata, rekod peribadi terbaiknya adalah 45.41m yang dicipta semasa Kejohanan Olahraga Perak All-Comers, Februari lalu.

“Saya akan berusaha untuk mencapai catatan terbaik dengan sasaran 46m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Negeri Sembilan minggu hadapan dan seterusnya Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), hujung bulan ini,” kata penuntut semester akhir Ijazah Sains Sukan di Universiti Malaya itu.

Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2019 yang berlangsung selama dua hari mulai semalam di Stadium Perak di sini disertai lebih 600 atlet.

Komen anda