Ipoh tuan rumah Kejohanan ITF Remaja Dunia

125
Howard Lee (duduk, tengah) pada sidang media berkenaan.

SHAHRIZAL AHMAD ZAINI

PEMINAT tenis tempatan berpeluang menonton aksi hebat pemain remaja sempena Kejohanan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) Remaja Dunia Bawah 18 tahun (B-18) di Arena Tenis Perak mulai 21 hingga 28 April depan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How berkata, kejohanan kali ini menampilkan penyertaan 25 negara melibatkan India, Sri Lanka, Hong Kong, Taiwan, Belanda, Great Britain, Amerika Syarikat dan sebagainya.

Menurut Howard Lee, kejohanan yang kali terakhir dianjurkan di negara ini pada 2014 lalu bakal turut menampilkan pemain tenis remaja bertaraf dunia.

“Kejohanan ini dihentikan seketika atas sebab-sebab tertentu, bagaimanapun kali ini ia kembali dengan menampilkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.

“Atlet Perak, Mitsuki Leong difahamkan akan mewakili negara dengan status pemenang pingat emas Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019 selain pernah mewakili negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

“Selain itu ada empat lagi pemain yang bakal beraksi melibatkan Hannah Yip, Daniel Leong Pricket, Pavel Liam Thadani dan Isham Singh yang juga berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa,” katanya pada sidang media, semalam.

Sementara itu, Howard Lee berkata, Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTA) difahamkan akan menganjurkan klinik mini tenis sempena kejohanan berkenaan.

Katanya, klinik yang dikendalikan oleh jurulatih pakar itu diharap dapat memberikan pendedahan awal mengenai sukan tenis kepada semua peserta.

“Peserta juga berpeluang untuk beramah mesra dengan pemain dalam dan luar negara sempena penganjuran klinik berkenaan nanti,” katanya.

Komen anda