Irfan percaya penubuhan PMOM mampu elak ‘gangguan’ luar

466

Mutu pengadilan yang lemah sehingga mencetuskan kontroversi pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menyaksikan pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menyambut baik idea penubuhan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).

Daripada sudut pandangan seorang jurulatih, Irfan Bakti berkata penubuhan badan bebas tersebut adalah tepat pada waktunya selain merupakan satu anjakan paradigma yang pasti meningkatkan tahap kualiti pengadilan bola sepak di Malaysia.

Menurutnya, usaha Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu akan memberi satu jalan penyelesaian ke atas permasalahan dialami pengadil yang sedikit sebanyak telah mempengaruhi standard Liga Malaysia (Liga-M) sebelum ini.

“Ia satu idea yang baik kerana mereka (pengadil) tidak perlu lagi rungsing dengan pelbagai masalah, antaranya isu membabitkan perjalanan mengendalikan perlawanan. Selepas ini sudah pasti mereka dapat menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap tugas.

“Bila sudah jadi badan bebas mereka juga akan dilindungi daripada elemen gangguan luar sekali gus standard liga dalam negara akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Idea penubuhan PMOM oleh MFL dan FAM terhasil selepas dua entiti bola sepak negara itu mengadakan perjumpaan bersama badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) di London baru-baru ini.

Sementara itu, Irfan Bakti yang pernah membawa Terengganu menjulang Piala FA pada tahun 2011 berkata PMOM turut berupaya meningkatkan kredibiliti seseorang pengadil sekali gus menjadi penanda aras terbaik untuk melahirkan lebih ramai pengadil tempatan berkualiti tinggi.

Katanya, beliau bukan mahu merendahkan kualiti sedia ada, namun kekurangan pengadil tempatan yang mempunyai standard serta disenaraikan dalam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jelas menunjukkan bahawa langkah menubuhkan PMOM adalah tepat.

“Sebenarnya apa yang berlaku di final Piala Malaysia 2018 turut mendapat perhatian penonton di England. Mereka agak terkejut dengan mutu pengadilan dan keputusan yang dibuat pengadil ketika itu. Jadi menerusi PMOM, landskap itu dapat diubah dengan peningkatan kualiti pengadil tempatan.

“Sekurang-kurangnya mereka (pengadil) akan belajar cara pengadil antarabangsa mengadili perlawanan. Sekarang ini kita lihat banyak ‘foul’ diberikan walaupun hanya berlaga badan (body contact). Contohi juga pengadil luar yang boleh berhujah dengan pemain dan mengawal perlawanan berintensiti tinggi dengan baik,” tambahnya. – Bernama

Komen anda