Piala Negara-Negara Afrika: Ivory Coast berpeluh sebelum mara, Tunisia bikin Ghana berputih mata

115
Zaha muncul wira Ivory Coast ketika menumpaskan Mali 1-0 utnuk mara ke suku akhir.

JUARA 2015, Ivory Coast akan membuat perhitungan dengan Algeria pada pentas suku akhir setelah dipaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Mali, 1-0 pada aksi Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi.

Jaringan tunggal tonggak Crystal Palace, Wilfried Zaha pada minit ke-76 memastikan Ivory Coast lolos dari pusingan 16 pada aksi di Suez, Mesir itu.

Namun, kemenangan itu belum cukup mengembirakan Pengendali The Elephants, Ibrahim Kamara apabila jentera penyudahnya Zaha, Nicolas Pepe dan Jonathan Kodjia disifatkan gagal memberi impak berkesan.

Menurutnya, berstatus antara pasukan pilihan Ivory Coast perlu lebih agresif dan tajam sekiranya mahu merangkul kejuaraan kedua dalam tempoh empat tahun itu.

“Saya akui bukan mudah mengatasi pasukan liat seperti Mali biarpun kami gembira berjaya menewaskan mereka.

“Banyak aspek perlu diperbaiki pemain Ivory Coast jika mahu meraih kejuaraan pada kali ini kerana pada separuh masa pertama lawan sudah cukup menyusahkan kami pada masa sama jentera depan kami mempersiakan deretan peluang,” katanya.

Sementara itu, pengendali Mali, Mohamed Magassouba menyifatkan ketumpulan penyudah menyebabkan skuad kendaliannya berputih mata.

“Kami mengawal rentak perlawanan pada masa sama mencipta banyak peluang tapi penyudah kami tumpul sekaligus menjadikan hari ini sebagai hari kami yang teruk,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan, Tunisia mencipta kejutan tersendiri pada kempen Piala Negara-Negara Afrika apabila menyingkirkan pasukan pilihan, Ghana pada pusingan 16 terbaik.

Pada aksi seimbang kedua-dua pasukan itu, skuad kendalian Alain Giresse berkenaan hanya dapat memecah kebuntuan pada pertengahan babak kedua hasil jaringan minit ke-73 Taha Khenissi.

Namun ketika skuad Giresse berangan-angan ke pusingan berikutnya, kesilapan Rami Bedoui pada masa kecederaan yang menjaringkan gol sendiri mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

Ferjani Sassi menjadi watak penting memastikan kemaraan suku akhir Tunisia selepas menyempurnakan sepakan terakhir pasukannya untuk kemenangan 5-4 mengatasi skuad kendalian Kwesi Appiah setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Komen anda