Jang mahu mula langkah kanan

651
Negeri Sembilan mahu membuka langkah kanan apabila melayan kunjungan Sarawak pada aksi pembukaa Liga Premier 2019 di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi malam ini.

Ketua jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris berkata, ia berdasarkan kelebihan bermain di tempat sendiri dan persiapan pramusim skuad Rusa itu menghadapi Liga Premier musim ini.

“Walaupun kita tidak begitu mengetahui kekuatan dan kelemahan pasukan lawan, tetapi saya yakin pemain dapat mengalas tugas yang diberikan. Saya akan turunkan ketiga-tiga pemain import iaitu dua pemain dari Brazil, Matheus Fernandes Vila Real dan Jose Almir Barros Neto serta pemain Jepun yang juga bekas pemain tengah pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Shunsuke Nakatake. Mereka menjadi tunjang kepada kekuatan Negeri Sembilan musim ini.

“Vila Real bermain di posisi pertahanan, Barros Neto di posisi penyerang manakala Nakatake bermain di posisi tengah. Antara pemain tempatan yang diletakkan sandaran ialah ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah, bekas pemain Kuantan FA, Azrul Nizam Muhammad, bekas pemain PDRM, Izaaq Izhan Yuswardi, bekas pemain UKM FC, Adam Othman Mohd Arfah, bekas pemain Selangor, Abdul Halim Zainal, bekas pemain Felda, Mohammad Ridzuan Abdunloh Pula dan bekas pemain Felcra, Dzulfahmi Abdul Hadi,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Mat Zan berharap pemain-pemainnya dapat mempamerkan prestasi memberangsangkan pada perlawanan tersebut dan membawa pulang tiga mata penuh.

“Saya yakin menerusi persiapan rapi dilakukan, ia akan memberi impak positif kepada sasaran ditetapkan. Dengan barisan kesebelasan utama pemain yang akan diturunkan (malam ini), saya harap mereka tidak akan mengecewakan penyokong sendiri.

“Saya harap percaturan perlawanan malam esok (malam ini) dapat membuahkan keputusan yang diharapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mat Zan memberitahu, beliau masih mencari seorang lagi pemain import untuk melengkapkan jentera Negeri Sembilan musim ini.

“Tempoh hari kita sudah kenal pasti seorang pemain import yang hendak kita serapkan dalam pasukan, tetapi malangnya pasukan lama pemain import itu tidak melepaskannya. Walaupun kita belum dapat mengisi tempat pemain import keempat ini, tetapi saya harap kekosongan itu dapat diisi oleh pemain tempatan buat sementara waktu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tiket untuk menyaksikan perlawanan Liga Premier antara pasukan Negeri Sembilan dan Sarawak akan mula dijual di STAR mulai pukul 10 pagi hari ini.

Harga tiket tempat duduk berbumbung bagi dewasa RM20 seorang dan kanak-kanak RM10 seorang, manakala harga tiket bagi tempat duduk terbuka bagi dewasa RM10 seorang dan kanak-kanak RM5 seorang. – Bernama

Komen anda