Jang terlepas peluang ke liga elit

43

KEKALAHAN Negeri Sembilan pada perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sendiri malam semalam menjejaskan peluang skuad Rusa itu untuk mara ke saingan Liga Super tahun depan.

Berbaki satu lagi perlawanan pada Sabtu depan menentang UiTM, skuad kendalian Ketua Jurulatih Mohd Zan Mat Aris mengimpikan mampu mencipta kemenangan sekurang-kurangnya bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Premier.

Pada ketika ini, skuad Rusa menduduki tangga kelima liga dengan 28 mata manakala PDRM melonjak ke tangga ketiga selepas menduduki tangga kelima dengan 30 mata.

Mengulas aksi itu, Mohd Zan mengakui terkilan kerana gagal mengutip tiga mata di laman sendiri selain terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan pemain yang memberi peluang kepada THe Cops merampas kedudukan dalam liga tersebut.

“Kita akui, dari segi permainan terdapat kesilapan yang kita lakukan terutama di saat-saat akhir perlawanan menyebabkan pihak lawan mudah membolosi gol kita.

“Jadi ini membuatkan saya agak terkilan, menyebabkan kita kehilangan tiga mata berharga untuk mara ke Liga Super,” katanya selepas perlawanan Liga Premier di Stadium Tuanku Abdul Rahman, di sini yang menyaksikan skuad Hobin Jang Hobin itu tunduk kepada PDRM dengan keputusan 2-3.

Mohd Zan berkata, walaupun kemenangan tidak menyebelahi pasukannya, namun beliau memuji corak permainan yang ditampilkan setiap pemain yang menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan berlangsung.

“Walau apa pun, kita tetap ada baki perlawanan terakhir menentang UiTM, saya harap kita akan cipta kemenangan dalam memperbaiki kedudukan kita,” katanya.

Komen anda