Jangan gadai kepentingan sukan negara

174

MAJLIS Sukan Negara (MSN) diminta mengadakan rundingan dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi menyelesaikan konflik membabitkan dua tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak, yang mengumumkan persaraan, minggu lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau menganggap konflik antara dua pemain berkenaan dengan PSM serius kerana kedua-dua pemain sudah mengharumkan nama negara.

“Saya difahamkan dalam tempoh terdekat kita akan mencapai persetujuan dan menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

“Jika ada masalah sekalipun jangan sampai menggadaikan kepentingan sukan negara khususnya sepak takraw yang dalam proses untuk kembali mengaum semula. Jadi kita tidak boleh berdepan dengan masalah ini sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) di Institut Sukan Negara (ISN), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohd Syahir dan Muhammad Zulkifli digugurkan oleh PSM atas alasan disiplin tetapi kedua-dua pemain berkenaan menafikan dakwaan itu dan mengambil keputusan untuk bersara minggu lalu.

Ditanya sama ada kedua-dua pemain berkenaan akan kembali bersama skuad kebangsaan menerusi rundingan yang dijalankan, Syed Saddiq berkata: “Insya-ALLAH, apa-apa pun tunggu kenyataan yang akan dikeluarkan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam masa terdekat,” katanya.

Mohd Syahir memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia menamatkan kemarau 10 tahun apabila memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2015 diikuti edisi 2017.

Gandingannya bersama Muhammad Zulkifli menamatkan kemarau 24 tahun untuk emas sepak takraw di Sukan Asia tahun lepas selepas kali terakhir muncul juara di Hiroshima pada 1994.

Komen anda