“Jangan sensasikan isu keselamatan.”

58
Stuart Ramalingam

 

“Jangan sensasikan isu keselamatan,”

ITU pesanan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelang aksi pertama Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia dalam saingan Kumpulan G di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September depan.

Menurut Stuart, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah memberi jaminan kepada badan induk bola sepak negara itu bahawa perlawanan berkenaan akan berlangsung dengan aman.

“Selepas undian dilakukan pada pertengahan Julai lalu, FAM terus melakukan perbincangan dengan PSSI melalui telefon berkenaan isu keselamatan bagi aksi pembukaan itu nanti.

“Apa yang boleh saya katakan hasilnya adalah positif dan mustahil gelanggang perlawanan terpaksa ditukar disebabkan isu keselamatan ini. Kami akan ke Indonesia, kemungkinan pada 15 atau 16 Ogos untuk mengadakan perjumpaan bersama PSSI bagi membincangkan isu ini serta ia akan melibatkan pasukan keselamatan di sana.

“Jadi, isu keselamatan pada perlawanan (menentang Indonesia) di Gelora Bung Karno bulan depan tidak perlu disensasikan kerana pihak FAM dan PSSI lebih awal mengambil langkah proaktif,” jelasnya semalam.

Jika diimbas kembali insiden pada tahun 2010, skuad Harimau Malaya terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda ke Gelora Bung Karno termasuklah ketika mereka pulang ke hotel penginapan selepas dikepung segelintir penyokong Indonesia dan diba­ling objek keras selepas bersaing pada aksi final Piala Suzuki AFF.

Setahun kemudian ketika berlangsungnya Sukan SEA 2011 di Jakarta, situasi sama berlaku apabila skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara kendalian Datuk Ong Kim Swee dibawa menaiki Barracuda selepas berdepan provokasi penyokong tuan rumah.

Tahun lalu pula, barisan pemain muda negara dibaling botol serta objek keras oleh segelintir penyokong Indonesia yang tidak dapat menerima kekalahan skuad Garuda Muda pada aksi separuh akhir Piala AFF Bawah 19 tahun di Jawa Timur.

Komen anda