Jazlan kecewa TRW makin tenggelam

274
AHMAD JAZLAN

RIFQIE RUZAIEN

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub meluahkan kekecewaan berhubung situasi melanda skuad The Red Warriors yang kini semakin tenggelam dalam pentas bola sepak negara.

Beliau yang menjadi presiden bermula 2004 hingga 2007 mengakui usahanya bersama Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Datuk Mohamad Noordin Awang membina semula bola sepak Kelantan hancur berkecai susulan zaman kejatuhan dilalui pasukan negeri berkenaan, ketika ini.

Menurutnya, pada penggal pentadbirannya beliau bersama dua rakannya melakukan perubahan secara menyeluruh setelah Kelantan menjadi pasukan bola sepak negeri pertama di negara ini turun pangkat beraksi dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada tahun 2005.

“Kami bertiga ini perancang utama yang menaikkan kembali Kelantan daripada Liga FAM ke Liga Super sebelum diserahkan (pucuk kepimpinan Kafa) kepada Tan Sri Annuar (Musa).

“Annuar juga adalah sebahagian daripada individu yang dipertanggungjawabkan hasil perbincangan kedua-dua pihak. Ini adalah sejarah yang telah tertulis bola sepak Kelantan,” katanya kepada media Kota Bharu, semalam.

Ketika ini, Kafa di bawah pentadbiran Bibi Ramjani Ilias Khan bukan sahaja berdepan kritikan hebat malah hilang keyakinan daripada penyokong setia mereka setelah terpalit dengan pelbagai isu sejak menerajui badan induk itu, dua tahun lalu.

Menurutnya lagi, berdasarkan situasi semasa, tidak mustahil Kelantan yang pernah dilabel gergasi pantai timur mengatasi Terengganu dan Pahang bakal terjerumus semula ke kancah liga amatur iaitu Liga M3 musim depan.

“Untuk menaikkan semula bola sepak Kelantan ia mesti melalui proses yang amat sukar. Paling kurang tiga hingga empat tahun, jangan bermimpi kita boleh naik semula dengan cepat.

“Kafa kena melakukan tindakan drastik untuk selamatkan pasukan Kelantan, paling tidak pun bertahan di Liga Premier. Sekarang mereka kena tumpukan usaha pembangunan di peringkat akar umbi bermula pemain belia dan skuad piala presiden,” katanya.

Komen anda