Jentera baharu McLaren serba lengkap: Alonso

105

BEKAS juara dunia Formula 1 (F1), Fernando Alonso buat pertama kali berpeluang menguji jentera baharu McLaren di Litar Antarabangsa Bahrain, baru-baru ini.

Kali terakhir pemandu kelahiran Sepanyol berusia 37 tahun itu memandu jentera F1 adalah pada November tahun lalu di litar sama untuk menguji tayar yang akan digunakan pada perlumbaan F1 musim ini.

“Jentera ini lebih baik dalam setiap aspek berbanding kereta tahun lalu. Ia memiliki lebih cengkaman dan lebih laju di laluan lurus.

“Enjinnya juga lebih baik, secara keseluruhan jentera baharu McLaren ini memiliki pakej yang lengkap dan kami semakin hampir untuk bersaing dengan pasukan-pasukan utama.

“Pasukan McLaren hanya perlu melakukan perubahan dalam satu dua aspek jika mahu terus mencabar tiga pasukan teratas itu tetapi langkah pertama ini sudah bagus dan ia program pembangunan yang baik,” jelas Alonso.

Dalam pada itu, McLaren berjaya meraih mata pertama mereka musim ini pada Grand Prix (GP) Bahrain Ahad lalu apabila pemandu muda dari Britain, Lando Norris menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Ketika Norris berjaya berada dalam kelompok 10 teratas pada dua perlumbaan awal, malang pula buat rakan sepasukannya, Carlos Sainz yang gagal menamatkan cabaran.

Komen anda