‘Jika MPM tak boleh selesaikan isu secara profesional, KBS PJS kena campur tangan’

129
Megat D Shahriman Zaharudin

CAMPUR tangan Kementerian Belia dan Sukan atau Pesuruhjaya Sukan (PJS) perlu sekiranya Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak dapat menangani isu ‘tangan ghaib’ yang didakwa berlaku dalam pencalonan jawatan utama badan itu menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 29 Jun ini.

Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, yang juga calon presiden MPM, berkata, KBS dan Pesuruhjaya Sukan berhak untuk berbuat demikian sekiranya MPM gagal untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi secara profesional.

“Kalau MPM tidak boleh selesaikan masalah ini dengan profesional, saya rasa pihak KBS dan PJS perlu campur tangan sebab mereka ini yang tetapkan peraturan dan juga yang menggubal perlembagaan sedia ada, malah mereka badan kerkecuali.

“Jika tidak, ia akan nampak satu kegagalan kepada kepimpinan tertinggi MPM kerana sebelum ini telah berjaya bersihkan nama daripada terpalit isu sebelum ini, tapi kembali mengulangi perkara yang sama. Mereka asyik cakap tidak mahu macam dulu, tapi perangai tetap sama. Ia macam menjilat ludah kembali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Masca di sini hari semalam.

Megat D Shahriman sebelum ini menawarkan diri untuk mengisi jawatan presiden pada AGM badan induk sukan para itu selepas penyandangnya SM Nasarudin SM Nasimuddin mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan berkenaan yang disandangnya sejak empat tahun lalu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan sama, namun isu timbul apabila Khairy dikatakan menghantar borang pencalonan pada jam 11.30 malam 15 Jun, sedangkan jelas tertera tarikh akhir penyerahan borang sebelum 15 Jun 2019, bermakna waktu terakhir adalah pada jam 11.59 malam, 14 Jun.

Mengenai isu berkenaan, Megat D Shahriman berkata tidak salah untuk bertanding namun individu itu perlulah menggunakan saluran yang betul.

Malah, beliau menyifatkan pertembungan satu lawan satu dengan Ahli Parlimen Rembau itu sebagai sesuatu yang menarik.

“Saya rasa satu benda yang menarik kerana dalam pertandingan adat menang atau kalah itu biasa. Tapi perlulah bertanding dalam cara yang betul. Kalau dah mulakan dengan percaturan begini, itu terpulang kepada diri sendiri.

“Kalau saya kata saya ini anak jantan, saya akan menegakkannya (saya anak jantan), saya tidak akan buat begitu sebab nanti akan kena tempelak pada diri sendiri. Pada saya, be a ‘gentleman’. Saya tidak ada rasa kecut atau takut. Ia satu pertandingan yang sihat,” katanya.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman selesa dianggap sebagai calon ‘under dog’ dalam pertembungan pada 29 Jun ini, dan mengakui Khairy juga seorang calon yang dekat dengan MPM.

“Biarlah dia jadi calon pilihan, kita under dog. Setiap daripada kita ada track record. Apa yang penting, biarlah ia berlaku dengan cara betul, melalui peraturan dan mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan. Kalau begini caranya, ia menjadi satu pertandingan yang tidak sihat,” tegasnya.

MPM dalam satu kenyataan media pada 18 Jun, mengesahkan Khairy yang bertanding atas tiket Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia bakal mencabar Megat D Shahriman dalam perebutan jawatan tertinggi persatuan itu.

Menurut presiden MPM, Lembaga Eksekutif sebulat suara memutuskan empat lagi calon iaitu Siti Zaharah, Dr Naharuddin, Dr S Radha Krishnan dan Keng Chuan dibenarkan bertanding kerana mereka telah mematuhi peraturan dan menfailkan pencalonan masing-masing dalam tempoh masa dan mematuhi syarat yang ditetapkan di borang pencalonan.

Sebelum ini, status Khairy menjadi tanda tanya selepas difahamkan borang pencalonannya dihantar pada jam 11.30 malam 15 Jun bersama Timbalan Presiden MPM, John Ng, sedangkan tarikh akhir yang tertera di borang pencalonan adalah pada jam 11.59 malam, 14 Jun.

John Ng dari Persatuan Ping Pong Malaysia bakal berentap dengan Radha dari Persatuan Sukan Orang Buta Malaysia/Persatuan Boccia Malaysia bagi kerusi timbalan presiden MPM.

Lapan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden ialah Hadfizah Abd Khafidz (Persatuan Tenpin Bowling Para Malaysia), K M Rajendran (Taekwando Malaysia), Muhd Iqbal Sulaiman (Tenis Berkerusi Roda Malaysia), Dr Ang Kean Koo (Persekutuan Bola Keranjang Kerusi Roda Malaysia), Dr Naharuddin Hashim (Persatuan Badminton Malaysia) dan Mejar Azhari Abdullah (Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia).

Dua lagi pencalonan untuk mengisi satu kuota wanita adalah Siti Zaharah Abdul Khalid (Persatuan Boling Padang OKU Malaysia) dan Noor Syahieda Mat Shah (Persatuan Powerlifting Para Malaysia).

Dua pencalonan untuk jawatan Setiausaha Agung diisi Datuk R. Subramaniam (Persatuan Olahraga Para Malaysia) dan Irena Chang (Persatuan Bola Tampar OKU Malaysia) manakala S Kumarusamy (Persatuan Para Karom Malaysia) tidak menerima cabaran untuk jawatan bendahari.

Komen anda