Jin Wei garang tundukkan Yamaguchi

967

PEMAIN perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei melangkah penuh yakin ke pusingan kedua saingan Perodua Malaysia Masters (PMM) 2019 di Axiata Arena.

Dalam aksi pusingan pertama semalam, dia cemerlang menumpaskan pemain ranking kelima dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi 21-14, 21-12.

Biarpun ini adalah permulaan yang begitu positif buat Jin Wei dalam PMM kali ini namun dia tidak mahu terlampau dibuai dengan kemenangan mengatasi pemain yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia itu.

Goh Jin Wei berkata, “Saya menjangkakan perlawanan tadi agak sengit, tidak sangka boleh menang hari ini. Saya cuma melawan sahaja. Lagipun lebih kurang setengah tahun saya tidak bermain dalam kejohanan senior. Jadi saya mahu tengok jurang dengan mereka.”

“Kalau dia bermain dengan seratus peratus, mungkin sukar untuk saya menang. Tapi hari ini mungkin ada kesilapan juga dari pihak lawan,”kata Jin Wei.

“Tadi rakan saya, Lee Ying Ying tewas dan saya ada menonton aksinya. Kekalahan mereka (perseorangan wanita) membuatkan saya berasa semangat kerana tidak mahu tiada wakil kita untuk teruskan perjuangan,”tambah Jin Wei.

Mengulas mengenai prestasinya yang tampak semakin matang di peringkat senior. Jin wei menambah, “Saya rasa semakin matang selepas memenangi Olimpik Remaja 2018 dan juara Remaja Dunia tahun lepas. Biarpun ianya kejohanan junior namun saya banyak belajar daripadanya. Apapun, saya belum lengkap dan masih dalam proses belajar, masih jauh perjalanan,” kata pemain harapan negara berusia 19 tahun itu.
Jin Wei dijadualkan bertemu pemain China, Zhang Yiman dalam pusingan kedua PMM 2019 hari ini.

Dalam perlawanan sebelum itu, pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo- Yap Cheng Wen juga berjaya mara ke pusingan kedua apabila bangkit menundukkan lawan dari Thailand, Chayanit Chaladchalam- Phataimas Muenwong 12-21 21-12 21-18.

Diminta mengulas mengenai sasaran mereka dalam PMM 2019, Vivian Hoo berkata, “Bagi kami, semua aksi adalah peluang untuk kami belajar sebagai pasangan baru kerana kami masih perlu meningkat naik. Selepas ini kami akan bersedia untuk lawan seterusnya.”

“Kita tidak meletakkan sasaran yang terlalu jauh kerana sedar semua lawan adalah berada di ranking atasan. Cuma, kami harap akan melangkah sejauh yang mungkin, akan cuba hadapi satu per satu lawan memandangkan semua lawan adalah sengit untuk kami,”kata Vivian.

Komen anda