Jin Wei semakin baik, mula ikuti latihan

39

PROSES pemulihan kesihatan pemain negara, Goh Jin Wei semakin baik dan telah kembali semula mengikuti latihan sejak dua minggu lalu sebagai persediaan untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata, pemenang emas acara perseorangan wanita itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam proses pemulihan yang dilalui oleh pemain berusia 19 tahun itu.

Beliau berkata pemain itu mempunyai peluang untuk sembuh sepenuhnya dan beraksi pada Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember ini.

Jin Wei, yang juga bekas juara remaja dunia itu, dilaporkan mengalami masalah kesihatan berkaitan perut yang memerlukan beliau menjalani rawatan.

“Jin Wei sudah memulakan latihan di gelanggang dan progress pemulihan adalah bagus. Daripada nasihat doktor, kita berasa lega dengan perkembangan pemulihannya.

“Buat masa ini, Jin Wei menjalani latihan yang sistematik dan mempunyai intensiti yang mencukupi untuk dirinya mempamerkan hasil daripada pemulihan yang bagus,” katanya pada sidang media TEAM Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini kelmarin.

Persoalan timbul apabila pemain kelahiran Pulau Pinang yang menduduki ranking ke-34 dunia itu berehat lama daripada sebarang kejohanan antarabangsa dan latihan berintensiti tinggi selepas kali terakhir beraksi di Kejohanan Piala Sudirman di China, Mei lepas.

Jin Wei merupakan antara 20 pemain disenaraikan oleh BAM untuk mencapai sasaran dua pingat emas di Filipina selepas skuad badminton negara hanya mampu meraih emas tunggal menerusi Jin Wei pada edisi lalu di Kuala Lumpur pada 2017.

Sementara itu, Choong Hann berkata BAM menyedari akan kebangkitan pemain daripada beberapa negara seperti Thailand, Indonesia dan juga Singapura, namun sukar meramal pemain lawan mana yang akan diturunkan pada temasya itu nanti.

Beliau turut membayangkan beregu lelaki, beregu campuran dan pemain perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia sebagai penyumbang pingat pada temasya sukan tersebut.

Beregu lelaki diwakili Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin manakala pasangan beregu campuran terdiri daripada gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Selain itu, katanya, beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean juga mempunyai peluang seimbang untuk meraih pingat apabila berdepan dengan lawan dari Thailand dan Indonesia mahupun kejutan daripada pemain Singapura.

Pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, baru-baru ini, pemain perseorangan wanita Singapura, Yeo Jia Min, yang juga pemain nombor 28 dunia, melakarkan kejutan apabila menyingkirkan pemain nombor satu dunia, Akane Yamaguchi dari Jepun pada pusingan pertama sebelum terkandas di suku akhir.

Pemain perseorangan lelaki utama Singapura, Loh Kean Yew, yang menghuni ranking ke-31 dunia, turut melakukan kejutan apabila mengalahkan pemain nombor 16 dunia, Sameer Verma dari India pada pusingan pertama sebelum terkandas di pusingan ketiga kepada pemain nombor dua dunia, Chow Tien Chen dari Taiwan.

Komen anda