Jiwa Rossi masih membara…

774
PELUMBA profesional, Valentino Rossi bakal meraikan hari ulang tahun kelahirannya pada 16 Februari ini yang menyaksikan juara dunia MotoGP enam kali itu mencecah usia 40 tahun.
Ketika ini, pelumba kelahiran Itali itu dalam persediaan bagi menghadapi musim ke-24 dalam kariernya dalam perlumbaan motosikal dunia tatkala dia sudah mengesahkan penyertaan bersama Yama sehingga penghujung tahun 2020.
“Malangnya, minggu depan saya akan berusia 40 tahun, ya saya sudah semakin tua! Bagaimanapun, ia merupakan satu cabaran buat saya untuk terus kompetitif pada usia sebegini,” kata Rossi.
Rossi boleh dijulang sebagai pelumba pertama pada usianya sebegitu yang terus bersaing dalam MotoGP dalam era moden.
Namun, tiada siapa dapat meramalkan mungkin ada pelumba lain yang mampu memadam rekodnya itu pada masa akan datang.
“Apa yang penting adalah motivasi tetapi paling utama sudah tentu kekal sihat dan kuat. Saya telah menandatangani kontrak dua tahun (dengan Yamaha) sehingga musim depan.
“Ia sememangnya sesuatu yang sukar untuk berada di atas tetapi saya dan pasukan akan cuba sedaya upaya  mencapai
sasaran ditetapkan,” jelasnya.
Dalam misinya berada di puncak kejayaan, Rossi sudah pasti perlu bekerja keras menawan litar musim ini.
“Kamu perlu bekerja keras, berlatih setiap hari dengan motosikal dan juga di gimnasium. Saya tidak fikir ia satu perubahan besar apabila kamu berusia 40 tahun atau 36 tahun.
“Jadi kamu harus bekerja lebih keras (apabila usia semakin meningkat) tetapi semuanya itu bukan sesuatu yang mustahil,” ujar pelumba pasukan Movistar Yamaha MotoGP itu.
Rossi berdepan detik hambar ketika bersama Yamaha apabila gagal meraih kemenangan musim lalu, namun dia masih berjaya menduduki tangga ketiga keseluruhan.
Dengan rekod 115 kemenangan podium utama termasuk saingan 125cc, 250cc dan 500cc, Rossi berharap dia dapat bersaing dengan adik tirinya yang juga juara kelas Moto2 musim lalu, Luca Marini suatu hari nanti.

Komen anda