Jorginho tidak mahu dibayangi kelibat Sarri

15
Jorg

Perancang Chelsea kelahiran Brazil, Jorginho enggan lagi dikaitkan dengan bekas pengendali The Blues, Maurizio Sarri yang kini berhijrah ke Juventus.

Jorginho menyertai Chelsea ketika jendela perpindahan pemain dibuka pada musim panas tahun lalu selepas Sarri membawanya masuk dari Napoli.

Ketika itu, Jorginho dianggap sebagai jentera tengah yang cukup dinamik sehingga menyebabkan Chelsea bersaing hebat dengan Manchester City untuk menjamin kedudukannya di Stamford Bridge.

Begitupun, khabar angin kini terus bertiup kencang apabila Jorginho dikatakan bakal menyertai Juventus kerana pengaruh Sarri.

"Saya sangat sedih apabila ramai yang berpendapat saya boleh berada di Chelsea kerana Maurizio Sarri. Saya berjaya mencapai sampai sehingga tahap ini kerana kerja keras dan pengorbanan yang saya buat. Saya mempunyai tugas yang sukar untuk membuktikannya.

"Saya akan membuktikan saya berhak bermain untuk Chelsea. Saya tidak mahu dikenali sebagai Jorginho yang bersinar hanya kerana Maurizio Sarri," tegasnya.

Jorginho memutuskan kekal bersama Chelsea yang kini dikendalikan Frank Lampard yang dilihat mempunyai potensi besar untuk membuktikan sesuatu musim ini.

Komen anda