Joshua teruja sarung jersi Malaysia

161

PEMAIN berdarah kacukan Malaysia-Jerman, Joshua Johan Bechler yang kini beraksi bersama skuad Bawah 17 tahun (B-17) Rot-Weiss Frankfurt merupakan antara pemain remaja mendapat perhatian pemerhati bola sepak di Jerman.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menemui Joshua baru-baru ini bagi membincangkan kemungkinan dia diserap menyertai skuad B-19 kebangsaan selepas berjaya mengemukakan dokumentasi sahih sebagai bukti memiliki pertalian darah di Malaysia.

Walaupun memiliki potensi dan perjalanan karier yang cerah di Jerman, Joshua berkata, impiannya sejak kecil adalah mewakili dan mengharumkan nama Malaysia, negara kelahiran ibunya yang merupakan seorang anak jati Selangor.

“Saya sentiasa memasang impian untuk mewakili Malaysia. Kami mempunyai keluarga Malaysia yang besar di Jerman dan mereka semua teruja melihat saya menyarung jersi Malaysia, bagaimanapun saya hanya mengikut kata hati saya.

“Mengetahui bahawa bola sepak Malaysia semakin baik dan sekiranya saya menjadi satu daripada faktor peningkatan itu, ia amat membanggakan saya. Seperti remaja lain, saya juga ingin membantu meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor mempunyai tempat istimewa dalam hatinya, adik kepada penjaga gol JDT III, Julian Johan itu berkata, dia sering mengikuti perkembangan skuad Harimau Malaya selain menonton saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Menurut Joshua, dia teruja dengan kemahiran dimiliki penyerang muda JDT, Safawi Rasid dan pemain sayap Pahang yang juga pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.

“Saya banyak mengetahui mengenai bola sepak Malaysia membabitkan pasukan Selangor dan JDT. Saya juga menonton Liga-M secara dalam talian. Saya turut memerhatikan banyak pemain berbakat seperti Safawi dan Sumareh. Sangat menarik, Malaysia sebenarnya mempunyai potensi besar,” katanya.

Komen anda