Jun Hoong hormati semua lawan

472
Jun Hoong hormati semua lawan
Jun Hoong hormati semua lawan

Penerjun negara, Cheong Jun Hoong enggan memandang rendah terhadap kemampuan pencabar lain walaupun tiada atlet dari China yang bertanding pada Sukan Komanwel, Gold Coast, minggu depan.

Menurut Jun Hoong yang baru dinobatkan Olahragawati Kebangsaan 2017 itu, dia tidak boleh terlalu selesa kerana percaya penerjun tuan rumah, Australia dan Kanada mampu memberi saingan kuat di temasya berkenaan.

“Masih banyak cabaran dan halangan saya perlu tempuhi dan bukanlah semudah anda sangkakan.

“Sebab itu saya tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran kerana saya hanya ingin lakukan yang terbaik. Sudah tentu semua orang berharap untuk menjadi pemenang termasuk saya.

“Tapi, saya tidak mahu memberikan banyak tekanan kepada diri sendiri. Saya juga hormati semua pesaing,” katanya.

Penerjun berusia 27 tahun itu bakal beraksi dalam acara 10m platform individu dan juga 10m platform seirama bergandingan dengan Pandelela Rinong Pamg.

Untuk rekod, Jun Hoong tidak pernah memenangi sebarang pingat sepanjang tiga penyertaannya pada Sukan Komanwel iaitu pada 2006 di Melbourne, 2010 di Delhi dan 2014 di Glasgow.

Mengulas lanjut, juara dunia itu berkata dia akan cuba buat yang terbaik untuk menyumbang pingat kepada negara.

Namun dia enggan memberikan tekanan kepada diri sendiri sebaliknya hanya mahu bertenang dan fokus.

“Saya pasti akan melakukan yang terbaik dalam setiap acara yang saya sertai,” katanya lagi.

Komen anda