Jun Hoong-Pandelela sambar emas

384
Pandelela dan Jun Hoong memenangi pingat emas dalam pusingan ketiga Siri Terjun Dunia di Montreal, Kanada.
Pandelela dan Jun Hoong memenangi pingat emas dalam pusingan ketiga Siri Terjun Dunia di Montreal, Kanada.

Masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast baru-baru ini, penerjun sensasi negara, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong, menyumbang emas lagi dan kali ini dalam pusingan ketiga Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di Montreal, Kanada, awal pagi tadi.

Mereka mengumpul 322.74 mata selepas lima pusingan terjunan untuk berada di tempat teratas acara wanita 10m platform serirama di Parc Olympique de Montreal.

Kejayaan mereka itu menerusi 0.84 mata mengatasi gandingan Korea Utara Kim Mi Rae-Kim Kuk Hyang, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Penerjun sensasi China, Si Yiajie, dan gandingan barunya, Lin Shan, membawa pulang gangsa selepas mengumpul 320.82 mata.

Pasangan Malaysia itu memenangi perak dalam pusingan pertama acara sama di Beijing pada awal Mac lalu dan gangsa dalam pusingan kedua di Fuji, Jepun pada 15 Mac.

Kedua-dua atlet terjun itu akan beraksi dalam acara 10m platform individu hari ini.

Sementara itu, penerjun senior, Leong Mun Yee, yang bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara wanita 3m papan anjal seirama, berkesudahan di tempat tercorot selepas mengumpul 256.20 mata.

Acara itu dimenangi pasangan China, Chang Yani-Shi Tingmao, yang menguasai terjunan lima pusingan dengan mengumpul 313.50 mata, manakala atlet tuan rumah, Jennifer Abel-Melissa Citrini Beaulieu, dan peserta Australia, Anabelle Smith-Esther Qin, masing-masing membawa pulang perak (304.83 mata) dan gangsa (295.80 mata). – Bernama

Komen anda