KAFA lunaskan tunggakan gaji Gonzales melalui geran FAM

358
BIBI

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) memutuskan melunaskan tunggakan gaji bekas Pengarah Teknikal The Red Warriors, Alfredo Carlos Gonzales menerusi potongan geran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tunggakan dibayar sebelum tamat tarikh ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“KAFA tidak mahu berdepan tindakan dipotong mata seterusnya selain sekatan pembelian pemain import sekiranya tuntutan berjumlah RM235,686 tidak dibayar sebelum tarikh ditetapkan FIFA,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Kelantan yang bersaing dalam Liga Premier dipotong tiga mata selepas gagal menjelaskan tuntutan Gonzales mengikut tempoh yang ditetapkan oleh FIFA.

Pada masa sama, Bibi Ramjani mendakwa masalah itu berpunca daripada MyInspiration Sdn Bhd yang menarik diri daripada kerjasama dengan Kafa menerusi penubuhan syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd.

“Sebelum ini mereka buat kenyataan untuk bayar tunggakan gaji Alfredo dan pergi berjumpa dengan FAM tangguh sebulan pembayaran itu, dan dibenarkan penangguhan itu.

“Jadi apabila mereka tangguh, mereka mempunyai komitmen untuk bayar namun sebaliknya mereka membuat keputusan menarik diri sebelum tarikh pembayaran yang tetapkan FIFA tamat.

“Mereka tidak beritahu kepada kami mereka tidak mahu bayar… mereka mengambil keputusan tarik diri dan hanya beri harapan untuk bayar sehinggakan kami kesuntukan masa dan tidak bersedia untuk berdepan kes ini bagi mendapat sumber kewangan sehingga pasukan dipotong mata,” katanya. – Bernama

 

Komen anda