‘Kalau nak cabar, silakan..’ – Sathia sedia pertahan jawatan

6612

 

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan sama sekali tidak gentar meski pun tempatnya bersama exco-exco lama bakal dicabar pada kongres yang berlangsung Sabtu.

 

Ujarnya, walaupun berdepan kemungkinan bakal kehilangan kerusi yang pernah didudukinya selama empat tahun, namun beliau sentiasa mengamalkan demokrasi dan terbuka untuk dicabar mana-mana pihak.

 

“Benar ada satu kumpulan yang akan mencabar semua jawatan dalam kongres PJBM kali ini. Kita sentiasa terbuka menerima mana-mana ahli yang mahu bertanding. Mungkin kumpulan ini mahu tunjuk mereka boleh buat lebih baik daripada kepimpinan yang ada sekarang.

 

“Agak menghairankan, sebelum ini tiada yang berminat dengan jawatan dalam PJBM. Tetapi selepas persatuan semakin kuat dan kewangan juga kukuh, ramai pula berminat.

 

“Di pihak saya dan exco-exco lain, tiada apa yang perlu ditakutkan. Kami akan tetap bertanding. Saya percaya kami sudah melakukan tugas dengan baik sepanjang empat tahun ini dan semua ahli juga menyedari perkara itu,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

 

Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, antara kemajuan yang berjaya dibawa persatuan itu sejak beberapa tahun lalu ialah dengan menjaga kebajikan jurulatih tempatan hingga membuatkan suara mereka lebih didengari keluarga bola sepak negara.

 

Selain itu, PJBM di bawah kepimpinannya juga mencatat sejarah apabila berjaya menganjurkan seminar dengan membawa tenaga pakar dari Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selain menambah bilangan instruktor sedia ada dalam persatuan.

 

“Saya juga bercadang untuk buat pembaharuan iaitu mewujudkan kerjasama dengan jurulatih Eropah. Saya sudah berjumpa Persatuan Jurulatih Bola Sepak Eropah dan kini kami dalam fasa membuat polisi untuk menghantar jurulatih tempatan ke kelab-kelab yang ada di benua itu.

 

“PJBM juga banyak dibantu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam mewujudkan kerjasama di antara kami dengan kelab-kelab Sepanyol dan Jepun. Jika perkara ini direalisasikan, saya percaya kami dapat membantu meningkatkan kepakaran jurulatih muda berbakat,” katanya.

 

Justeru, beliau berharap agar dapat terus memacu persatuan itu untuk beberapa tahun lagi bagi menjayakan aspirasi menjadikan jurulatih tempatan lebih berkualiti.

 

 

Komen anda