‘Kalaulah tiada Marquez…’

293
Marquez jadi pencabar utama yang paling sukar ditewaskan dalam saingan MotoGP.

PELUMBA Ducati, Andrea Divizioso mengakui dirinya masih belum mampu menandingi aksi cemerlang pencabar utamanya Marc Marquez.

Divizioso terpaksa mengakui kehebatan Marquez yang masih lagi mendominasi saingan MotoGP buat masa ini, namun pada masa sama beliau juga cemburu terhadap keupayaan pelumba Repsol Honda itu.

Malah beliau turut mengandaikan dirinya sudahpun meraih dua gelaran juara dunia jika tidak perlu bersaing dengan pelumba kelahiran Sepanyol itu.

"Kalaulah tiada Marquez, saya sudah memenangi dua gelaran juara dunia," ungkap Dovizioso.

Jelas Divizioso, misi untuk merampas takhta Marquez musim ini masih terpalit kegagalan ekoran masih terdapat beberapa kekurangan pada jentera yang ditunggangnya.

Jelasnya, perkara ini dapat dilihat dalam beberapa aksi terdahulu yang mana sukar untuknya mencabar Marquez di penghujung perlumbaan.

"Sebagai contoh di Perancis minggu lalu, saya mengakhiri saingan di tempat kedua kerana jentera saya tidak memiliki kepantasan sama seperti Marquez.

"Ya, seluruh pasukan sudah bekerja keras di setiap perlumbaan. Namun dari satu sudut, seolah-olah ada sesuatu yang tidak berfungsi seperti kami harapkan.

"Oleh sebab itu, kami perlu terus meneliti cara kerja Marquez dan pasukannya jika mahu meraih gelaran juara musim ini," katanya lagi.

Komen anda