‘Kami minta maaf sebab tak dapat bawa pulang Piala AFF Suzuki 2018 ke Malaysia’

540
Foto: Sportflex Malaysia
Foto: Sportflex Malaysia
“KAMI sudah berikan yang terbaik,” itu yang diungkapkan tonggak pertahanan negara, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak selepas Harimau Malaya  tewas 0-1 kepada Naga Emas pada aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional My Dinh, malam semalam sekaligus menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tewas  agregat 3-2 selepas seri 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
Namun pada masa sama, tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui kecewa dengan kekalahan itu berterima kasih kepada penyokong Harimau Malaya yang sentiasa berada di belakang pasukan sejak kejohanan dwi tahunan itu bermula.
“Saya ucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong dari awal. Inilah bola sepak…kami sudah buat yang terbaik untuk perlawanan ini. Siapa sangka pasukan Malaysia yang tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan, boleh sampai ke final.
“Pasukan sudah berikan segalanya mungkin rezeki kami hanya menduduki naib johan. Kami minta maaf kerana piala kejuaraan tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia,” katanya selepas perlawanan berkenaan.
Pada aksi semalam, gol sulung Vietnam hadir menerusi Nguyen Anh Duc seawal minit keenam selepas skuad kendalian jurulatih dari Korea Selatan Park Hang-Seo bermula garang sejak wisel permainan ditiupkan.
Menurut Aidil, jaringan itu ternyata memberi tekanan kepada pasukan sekali gus merencatkan taktikal serta rentak permainan.
“Mungkin gol awal itu buat kita susah nak cari gol penyamaan ataupun usaha untuk mendahului. Ini adalah final, apa-apa sahaja boleh terjadi,” tambahnya. – Bernama

Komen anda