‘Kami perlu masa bentuk keserasian’

428

PELUMBA MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui perlukan lebih masa untuk mencapai keserasian bersama jentera baharunya.

 

Beliau yang bersama Redbull KTM Tech 3 dalam saingan kelas perdana musim 2019, berkata faktor keserasian itu sedikit menjejaskan rentak tunggangnya di awal saingan perlumbaan tahun ini.

 

Jelasnya, bukan satu perkara mudah untuk cepat menyesuaikan diri terutama apabila ia melibatkan perubahan jentera.

 

“Semestinya saya mahukan keputusan yang baik dan saya kecewa dengan keputusan di Grand Prix (GP) Qatar tempoh hari… saya masih belum serasi dengan jentera KTM yang baharu.

 

“Rakan sepasukan mempunyai pengalaman yang lama dengan KTM serta teknik perlumbaan juga sudah mencapai apa dimahukan, tetapi ia bukan mudah bagi saya kerana saya mula berlumba dengan Yamaha,” katanya ketika ditemui pemberita di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, semalam.

 

Hafizh, bagaimanapun tidak melihat prestasi kurang memberangsangkannya di GP Qatar, Ahad lepas, sebagai penghalang untuk beliau sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian musim lalu.

 

“Saya tidak risau tentang kelemahan saya itu…sebaliknya akan berusaha mencari teknik yang baik untuk mengekalkan momentum bagi perlumbaan seterusnya,” kata beliau.

 

Pada perlumbaan pertama MotoGP musim ini di Litar Antarabangsa Losail, Hafizh sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 dengan catatan 43 minit 20.144 saat, sementara rakan sepasukannya yang juga pendatang baharu, Miguel Oliveira menduduki tempat ke-17 dengan masa 42:53.279s.

 

Hafizh akan meneruskan perlumbaan kedua MotoGP 2019 di GP Argentina pada 31 Mac ini.

Komen anda