‘Kami terlupa!’ – Ferrari akui buat silap di GP Kanada

90
Binotto mengakui Ferrari membuat silap apabila tidak memberitahu Leclerc (kanan) mengenai hukuman yang dikenakan ke atas Vettel (kiri) di GP Kanada.

PRINSIPAL pasukan Ferrari, Mattia Binotto mengakui pasukannya telah membuat kesilapan pada perlumbaan Grand Prix Kanada hujung minggu lalu yang menyaksikan mereka terlepas peluang untuk menjuarai perlumbaan pertama Formula 1 (F1) musim ini.

Dalam perlumbaan di Montreal itu, pelumba Ferrari, Sebastian Vettel muncul pelumba terpantas, namun kemenangannya dirampas apabila pelumba Jerman dikenakan penalti lima saat oleh stewards atas sebab keluar dari pit stop secara berbahaya hingga menyebabkan pelumba Mercedes, Lewis Hamilton terpaksa menekan brek untuk mengelakkan daripada berlakunya pelanggaran.

Hukuman ke atas Vettel telah memberikan kemenangan buat Hamilton, sementara Vettel dan rakan sepasukannya, Charles Leclerc berada di tempat kedua dan ketiga.

Binotto berkata di sidang media selepas perlawanan, pihaknya 'terlupa' memberitahu Leclerc mengenai penalti lima saat yang dikenakan ke atas Vettel dalam perlumbaan itu.

Jelasnya, Leclerc hanya mengetahui tentang hukuman itu selepas tamat perlumbaan dan tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan.

"Ia kesilapan daripada pihak kami. Kami terlalu sibuk dengan perkara-perkara lain sepanjang perlumbaan itu.

"Kami terlupa. Kami sepatutnya memberitahu Leclerc tentang hukuman itu, tetapi kami tidak berbuat demikian," katanya.

Bagaimanapun, Leclerc tampil mempertahankan kesilapan tersebut dan berkata beliau tidak mampu menandingi dua pelumba dihadapannya meskipun diberitahu tentang hukuman itu lebih awal.

"Tidak, ia tidak akan mengubah apa-apa. Saya bergelut untuk mengejar Vettel dan Hamilton sepanjang perlumbaan.

"Saya dapat melihat mereka begitu hampir di antara satu sama lain dan mereka sangat pantas. Jadi, saya tidak akan mengubah corak pemanduan saya meskipun mengetahui tentang hukuman itu," katanya.

Komen anda