Kar See alih sasaran ke kejohanan dunia di Dubai

52
Foto: Majlis Sukan Negara

KEJAYAAN merangkul emas pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Grand Prix Dunia Terbuka Handisport 2019 di Paris, kelmarin memberi keyakinan kepada atlet lompat jauh negara, Jonathan Wong Kar See untuk mengulangi pencapaian yang lebih cemerlang pada kejohanan dunia di Dubai, November ini.

Atlet paralimpik negara dari Sabah itu berkata beliau akan meningkatkan keupayaan dalam dirinya serta berlatih dengan lebih gigih untuk melakukan catatan peribadi terbaik di Dubai nanti.

”Saya rasa lebih yakin untuk kejohanan akan datang di Dubai dengan sasaran sekurang-kurang 7.30 meter (m) iaitu memperbaiki catatan peribadi terbaik 7.22m yang dicipta pada Terbuka China, Mei tahun lalu,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Pada Jumaat (Sabtu di Malaysia), atlet berusia 28 tahun itu melakukan lompatan sejauh 7.03m untuk memenangi pingat emas dalam kategori T11/12 (masalah penglihatan) pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Paris Charlety, Paris.

Bagaimanapun, lompatan itu jauh daripada catatan peribadi terbaiknya di China.

Sejumlah 700 atlet paralimpik daripada 40 negara mengambil bahagian dalam kejohanan tiga hari yang bermula 28 Ogos lalu.

Komen anda