KB Kepong selesa ‘underdog’

311
Aksi beregu lelaki KB Kepong ketika aksi separuh akhir menentang KB Cheras, kelmarin.
Aksi beregu lelaki KB Kepong ketika aksi separuh akhir menentang KB Cheras, kelmarin.

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

KETUA jurulatih Kelab Badminton (KB) Kepong, Mohd Zakry Abdul Latif lebih selesa menganggap diri mereka sebagai ‘underdog’ apabila berdepan KB Puchong United pada aksi final Purple League di Genting Highlands, esok.

Bagaimanapun, Zakry menegaskan, beraksi sebagai underdog tidak bermakna mereka tidak mempunyai peluang untuk menjulang kejuaraan, sebaliknya percaya skuad KP Kepong memiliki kekuatan untuk melakar kejutan ke atas Puchong.

“Peluang untuk menjadi juara ada tetapi kelebihan tetap kepada KB Puchong United menerusi barisan pemain yang dimiliki mereka.

“Tapi saya yakin mereka dapat mengekalkan momentum seperti yang dipamerkan semasa menewaskan KB Petaling ketika play-off dan juga mengatasi KB Cheras dalam separuh akhir.

“Sebelum bermain di peringkat akhir lagi, saya sudah ingatkan pemain supaya hanya beraksi bersungguh-sungguh dan tidak ada apa perlu dirisaukan dalam final nanti memandangkan kita adalah pasukan bukan pilihan,” katanya.

KB Kepong mengesahkan tiket ke final selepas menundukkan KB Cheras 10-4 manakala KB Puchong United menewaskan KB Petaling Jaya 10-3.

Mata pertama disumbangkan oleh pemain perseorangan lelakinya, Subhankar Dey dari India yang menewaskan Tommy Sugiarto 11-10, 8-11, 9-11, 11-9, 4-2.

Qin Jin Jing dari China, yang merupakan pemain pilihan dalam perseorangan wanita juga tidak berdepan masalah meraih kemenangan 3-0 menewaskan pemain Jepun, Shiori Saito, 11-7, 11-7, 11-8 untuk menjadikan KB Kepong semakin selesa mendahului KB Cheras 6-2.

Kecemerlangan KB Kepong semakin terserlah untuk mereka ke final apabila pasangan beregu lelaki, Liao Min Chun-Su Ching Heng dari Taiwan menyingkirkan Tan Boon Heong-Tan Wee Gieen untuk memberikan pendahuluan 9-3 buat KB Kepong.

Akhirnya, pasangan beregu campuran, Cheah Yee See-Nur Mohd Azriyn Ayub, memberikan mata ke-10 walaupun tewas set pertama untuk KB Kepong mara ke final menerusi kemenangan 10-4.

Mereka mencipta keputusan 6-11, 11-10 berdepan wakil KB Cheras, Pia Zebadiah Bernadet-Terry Hee Yong Kai.

Bagi Zakry, pujian wajar diberikan kepada pemain yang mempamerkan semangat juang tinggi sehingga mampu sampai sejauh ini.

“Perkara yang begitu mengejutkan adalah dapat layak hingga ke tahap ini. Syabas kepada pemain,” ujarnya lagi.

 

Komen anda