Kejayaan Harimau Malaya hasil usaha bersama

69
Hamidin

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan kejayaan skuad Harimau Malaya memulakan kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan langkah kanan adalah hasil usaha kerjasama ahli gabungan FAM.

Ujarnya, kerjasama dan sentiasa berusaha meraih keputusan positif yang dipamerkan di kalangan ahli gabungan untuk memastikan skuad kebangsaan meraih kejayaan perlulah diteruskan bagi menghadapi aksi seterusnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli gabungan FAM dan kelab kerana telah memberi kerjasama dalam membantu ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe membentuk pasukan yang mantap dan terbaik bagi menghadapi kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Ahli-ahli gabungan FAM ini serta kelab diharap dapat terus untuk memberikan kerjasama dan sokongan setiap kali khidmat pemain mereka diperlukan oleh Harimau Malaya,” katanya.

Pada masa sama, Hamidin turut berterima kasih kepada bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana kejayaan yang dikecapi hadir daripada falsafah serta usaha beliau ketika menjawat jawatan nombor satu badan induk itu.

“Revolusi bola sepak yang diperkenalkan oleh Tunku Ismail sudah mula menampakkan hasil malah pemilihan Cheng Hoe untuk mengendalikan Harimau Malaya tepat apabila prestasi dan persembahan pasukan semakin meningkat.

“Seterusnya, kehadiran pemain naturalisasi dan pemain berdarah campuran turut membantu menambah kekuatan skuad Harimau Malaya menerusi gandingan yang cukup baik di antara mereka bersama barisan pemain tempatan sedia ada dan usaha memperkasakannya akan saya teruskan demi meningkatkan lagi kedudukan bola sepak negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, Hamidin mengingatkan Harimau Malaya agar tidak terlalu ghairah dengan kemenangan yang dilakar ketika bertemu Indonesia sebaliknya perlu bersedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya dan menggesa semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Malaysia akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi aksi kedua Kumpulan G di Bukit Jalil, Selasa ini dan kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu adalah di kejohanan yang sama menyaksikan Harimau Malaya dimalukan selepas dibelasah 10-0 sekali gus menjadi kekalahan terbesar dalam sejarah bola sepak negara.

Skuad kebangsaan melakar kemenangan dramatik apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Utama Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu sekali gus meraih tiga mata pertama dalam Kumpulan G.

Komen anda