Kejohanan Dunia: Zii Jia akur pengalaman berpihak Momota

87

HASRAT Lee Zii Jia untuk mencipta sejarah pada penampilan sulung di Kejohanan Dunia 2019 tidak tercapai apabila gagal menandingi kehebatan pemain nombor satu dunia, Kento Momota, pada aksi suku akhir di Basel, Switzerland, hari ini.

 

 

Pada aksi di Arena Tertutup St Jakobshalle, pemain perseorangan utama negara memulakan rentak dengan baik apabila memberi saingan pada awal perlawanan sebelum Momota mengambil langkah kanan dengan mendahului 11-10 pada set pertama.

 

 

Zii Jii kemudian melakukan banyak kesilapan yang membolehkan pemain Jepun itu melengkapkan set pertama dengan 21-12 sebelum mengesahkan slot ke separuh akhir dengan kemenangan 21-18 pada set kedua.

 

 

“Ini adalah suatu pengalaman yang baik dengan menamatkan saingan di suku akhir pada kejohanan dunia pertama saya. Saya sedar perjalanan masih jauh dan keputusan suku akhir tidak baik bagi diri saya,” katanya.

 

 

Beliau mengakui prestasinya tidak memuaskan seperti yang diharapkan serta pengalaman pada kejohanan dunia itu membuka matanya untuk menilai kelemahan yang perlu diperbaiki.

 

 

Selepas ini, beliau akan beraksi pada Terbuka Taiwan dari 3 hingga 8 September ini.

 

 

Terdahulu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut gagal ke separuh akhir apabila tewas kepada gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-18, 12-21, 11-21.

Komen anda