Kejohanan Dunia: Zii Jia, Peng Soon-Liu Ying mara suku akhir

112
Gambar File: AFP

JAGUH badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan rentak cemerlangnya pada Kejohanan Dunia apabila menewaskan pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada pusingan ketiga di St Jakobshalle, Basel, Switzerland.

Zii Jia yang membuat penampilan sulungnya pada kejohanan ini bermula baik pada set pertama apabila mudah mengatasi 21-15 sebelum lawannya yang juga pilihan kelapan itu bangkit pada set kedua dengan kemenangan 21-11.

Pada set penentuan, Zii Jia yang juga pemain ke-13 ranking dunia bangkit dengan aksi menyakinkan untuk kemenangan 22-20 dalam aksi sengit sekali gus memastikan kemaraan ke suku akhir menentang juara bertahan serta pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota.

INFO

Ini kemenangan ketiga Zii Jia ke atas Kenta Nishimoto dalam empat pertemuan.

Gambar File: AFP

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying juga mengesahkan slot ke suku akhirselepas menundukkan gandingan Jepun, Takaro Hoki-Wakana Nagahara pada pusingan ketiga.

Tampil selaku pilihan kelima kejohanan, Peng Soon-Liu Ying diberikan tentangan sengit sebelum meraih kemenangan 17-21, 21-13, 21-14 dalam aksi yang berlanjutan selama 64 minit.

Ia kemenangan kedua Peng Soon-Liu Ying ke atas lawan mereka itu selepas kali terakhir pada Seluruh England bulan lalu.

Pada aksi suku akhir, Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 bakal berdepan pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Watanabe-Higashino menempah slot suku akhir selepas menewaskan beregu England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock 21-13, 21-11.

Dalam pada itu, nasib berbeza pula bagi kem beregu wanita negara apabila perjalanan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen terhenti pada pusingan ketiga.

Vivian-Cheng Wen yang diletakkan selaku pilihan ke-15, tewas kepada gandingan pilihan ketujuh dari China Du Yue-Li Yin Hui 15-21, 21-11, 8-21.

Komen anda