Kejohanan Dunia: Zii Jia, Soniia teruskan kemaraan 

94
Foto: FB Badminton Association of Malaysia - BAM

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan aksi cemerlang menewaskan pemain China, Lu Guangzu dan melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland pada Selasa.

Zii Jia yang tewas set pertama, kembali bangkit memenangi dua set berikutnya 12-21, 21-14, 21-15 untuk merangkul kemenangan dalam aksi perlawanan 63 minit.

“Ia adalah pertarungan yang bagus bagi kami berdua, tidak mudah memenangi perlawanan ini, dia mempunyai rentak dan strategi yang baik dalam set pertama, saya bertuah dapat kembalikan keyakinan dan kembali berjuang dalam set kedua dan ketiga.

“Esok hari cuti saya, saya akan menentang sama ada (Kenta) Nishimoto sebelum pusingan suku akhir. Jadi saya harap dapat rehat yang secukupnya dan memberi aksi yang terbaik pada Khamis,” kata pemain ranking ke-13 dunia itu hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu akan berdepan pilihan kelapan Kenta Nishimoto dari Jepun dalam pusingan ketiga untuk menempah tempat ke suku akhir.

Juara dunia lima kali, Lin Dan dari China mengalami kekalahan mengejut selepas tewas kepada pemain India, H.S Prannoy 21-11, 13-21, 21-7 dalam pusingan kedua.

Prannoy yang kini menduduki ranking ke-30 dunia akan bertemu pilihan pertama Kento Momota dalam pusingan ketiga.

Pemain perseorangan wanita negara, Soniia Cheah berjaya membenam pemain berpengalaman Yip Pui Yin dari Hong Kong dalam penampilan pertamanya pada kejohanan itu hari ini.

Soniia yang memenangi set pertama 21-8 hampir hilang momentum dalam set kedua, tetapi bangkit kembali dan teruskan aksi bergaya dengan kemenangan 21-18 untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Hari ini saya gembira kerana berjaya lepasi perlawanan pertama, dia bermain dengan baik pada aksi kedua, lebih sabar…tetapi keseluruhannya saya gembira sebab berjaya kawal perlawanan…Esok (perlawanan) lebih sukar,” katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu akan berdepan pemain ranking kesembilan dunia Michelle Li dari Kanada dalam pusingan kedua.

Sementara itu, beregu profesional negara, pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengambil masa 51 minit sebelum mereka dapat menundukkan Joshua Hurlburt-Yu-Josephine Wu dari Kanada 21-18, 19-21, 21-16.

Pasangan beregu pilihan kelima itu akan berdepan sama ada bekas rakan sepasukan mereka Goh Soon Huat-Shevon Lai yang akan turun menentang pemain Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara dalam aksi berikutnya kemudian.

Sementara itu beregu lelaki profesional negara, Mohamad Arif Abdul Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub gagal mara ke pusingan kedua selepas tewas di tangan pasangan Rusia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 12-21, 19-21.

Komen anda