Kejohanan Ski Air Dunia: Aaliyah raih tempat ketiga pusingan awal

37
Gambar File

RATU luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah menduduki tempat ketiga dalam pusingan kelayakan pada Kejohanan Ski Air Dunia 2019 Persekutuan Luncur Air & Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di Tasik Putrajaya hari ini.

Walaupun mengalami kecederaan ringan di telinga semasa latihan baru-baru ini, Aaliyah, 16, melakukan lompatan sejauh 37.2 meter (m) dalam acara jump, berada di belakang juara remaja dunia dari Australia, Sade Ferguson yang melakukan lompatan 46.5m dan Stanislava Prosvetova dari Ukrain dengan lompatan 42.1m dalam siri ketiga pusingan awal.

Aaliyah berpuas hati dengan persembahannya meskipun mengalami kesukaran dengan keadaan angin, rentak lompatan dan tempat yang beliau kurang biasa.

“Bila saya meluncur di sini, saya sentiasa terlepas setiap lompatan untuk setiap set, saya hanya berjaya melakukan satu lompatan (tiga lompatan untuk setiap set), ia sukar bagi saya pada mulanya, tetapi saya berjaya melakukan tiga lompatan berturut-turut (hari ini),” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, dua adiknya yang turut menyertai kejohanan itu, Aiden, 13, dan Adam, 11, gagal untuk mempamerkan persembahan yang baik dalam acara tricks selepas menamatkan pusingan mereka apabila mengumpul 2,840 mata dan 3,320 mata dengan masing-masing menduduki tempat ke-14 dan ke-12.

Jurulatih kelahiran Perancis, Marian Malaquin mengakui kedua-dua adik beradik itu tergesa-gesa sehingga menyebabkan mereka terjatuh.

“Secara peribadi, saya kecewa dengan mereka kerana mereka boleh melakukan dengan lebih baik tetapi mereka tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk kejohanan seperti ini dan mungkin mereka gementar.

“Bagaimanapun, ini sebahagian daripada proses pembelajaran mereka dan mereka akan melakukan yang lebih baik dalam kejohanan akan datang.

Malaquin berkata Adam dan Aiden akan menyertai Kejohanan Luncur Air & Wakesports Asian IWWF 2019 di Thailand bermula 23 hingga 29 September ini.

Pusingan kelayakan kejohanan itu akan bermula dari 16 Ogos, diikuti final pada 17 dan 18 Ogos.

Seramai 168 peserta daripada 39 negara mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang menampilkan enam acara.

Komen anda