Kejuaraan Piala Super UEFA tonik terbaik barakan semula semangat Chelsea

101

TIADA apa yang dimahukan pengendali Chelsea, Frank Lampard selain kemenangan dalam aksi Piala Super UEFA menentang Liverpool di Vodafone Arena, Istanbul awal pagi esok yang akan menjadi trofi pertamanya selepas mengambil alih The Blues musim ini.

Menurutnya, kemenangan menjadi keutamaan buatnya ketika ini dan dalam masa sama mahu membuktikan keupayaannya membimbing kelab besar seperti Chelsea.

“Dalam apa jua cara kami perlu bersedia untuk menentang Liverpool dalam perlawanan Piala Super UEFA itu. Memang kami masih terkesan dengan kekalahan kepada Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris baru-baru ini.

“Tetapi ia bukan alasan untuk kami dan kemenangan ini juga akan menjadi penaik semangat untuk pasukan mengharungi musim ini,” katanya.

Bekas pemain tengah Chelsea itu juga percaya kemampuan pasukannya dan mahu piala itu dibawa pulang ke Stamford Bridge selepas kali terakhir dimenangi pada 1998.

Malah, katanya kemenangan itu juga jika berjaya dilakar bakal memberikan kepuasan kepadanya yang gagal untuk memenangi piala tersebut dua kali ketika menjadi pemain pada 2012 dan 2013.

“Liverpool memang sebuah pasukan kuat dan kami sedar atas kertas kami hanya sebuah pasukan under dog. Tetapi kami janji akan memberikan yang terbaik dan sedaya upaya memastikan kegembiraan buat penyokong dengan membawa pulang piala tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan pemain sayapnya, Willian berkemungkinan besar boleh diturunkan dalam perlawanan tersebut sekali gus memberikan lebih banyak pilihan buatnya di bahagian serangan.

“Willian sudah mula berlatih dan saya akan menilai terlebih dahulu tahap kecergasannya. Sudah tentu ia motivasi yang baik kepada pasukan untuk melihat pemain senior seperti Willian berada dalam pasukan.

“Tetapi saya tidak mahu terburu-buru kerana risau kecederaannya akan berulang. Saya akan melihat terlebih dahulu situasinya,” katanya.

Komen anda