Kekurangan bukti menyukarkan kes Zulfadli – Peguam

1081

PEGUAM yang mewakili Zulfadli Zulkifli mendedahkan pihaknya gagal untuk membela diri dan membuat rayuan untuk perbicaraan semula berkaitan skandal mengatur perlawanan oleh anak guamnya disebabkan kekurangan bukti.

Datuk Joshua Kevin berkata, ketika sesi perbicaraan pihaknya sudah bertanyakan kepada pihak pendakwa tentang perlawanan mana yang disabitkan dengan tuduhan mengatur perlawanan, namun mereka tidak mendapat sebarang jawapan.

Sebaliknya, pihak pendakwaan hanya banyak berpandukan kepada perbualan Whatsapp untuk menuduh anak guamnya terbabit dengan skandal tersebut.

“Kalau betul dia atur perlawanan, kena beritahu perlawanan yang mana, jadi kami mampu mempertahankan diri. Jika mereka kata dia atur perlawanan sewaktu Grand Prix 2013 adakah kesemuanya sekali? Bagaimana pula ketika dia menang? Adakah dia atur perlawanan ketika dia menang? Dan bagaimana pula sewaktu dia kalah?

“Jika dilihat pada keputusan 65 muka surat mereka tidak menyatakan perlawanan mana, Ini yang saya mahu tegaskan. Mereka perlu beritahu secara tepat perlawanan mana yang terlibat? Jangan hanya sebab lihat beberapa patah perkataan di Whatsapp terus tuduh atur perlawanan.

“Dalam keadaan sebegini memang sukar dan agak mustahil untuk kami membela diri sebab bukti kami tidak cukup untuk mempertahankan diri dan mereka hanya membuat andaian daripada perkataan-perkataan di Whatsapp tersebut,” katanya.

Mengulas peluang Zulfadli untuk memenangi kes jika mencabar kembali keputusan tersebut, Joshua tidak dapat memberikan jawapan.

“Saya tidak tahu. Masalah dengan dia ada dua, masalah pertama dia tidak mempunyai wang cukup untuk bayar denda terlebih dahulu sebelum rayuan tersebut dapat difailkan.

“Yang keduanya, saya rasa sebelum perbicaraan tersebut dia memang yakin dia tak ada sebarang kaitan, tetapi selepas keputusan tersebut keluar, saya rasa dia tiada keyakinan lagi dengan badan kehakiman ini. Tapi ini hanya boleh dijawab oleh Zulfadli sendiri,” katanya lagi.

 

Komen anda