Kelantan makin ‘lumpuh’

270
Cassio (dua,kanan) memutuskan tinggalkan Kelantan susulan masalah kewangan pada jendela perpindahan pertengahan musim Liga-M yang berakhir malam ini.

RIFQIE RUZAIEN

DUA pemain import Kelantan memilih ‘angkat kaki’ sekali gus menyaksikan pasukan itu semakin ‘lumpuh’ untuk mengharungi baki saingan Liga Premier musim ini.

Pertahanan import dari Brazil, Cassio de Jesus dan Mustafa Zazai (Afghanistan) memutuskan meninggalkan pasukan itu sebelum jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia (Liga-M) berakhir malam ini.

De Jesus mengesahkan khabar buruk itu menerusi laman sosialnya sambal menjelaskan masalah kewangan menjadi punca dia menarik diri daripada terus menyarung jersi skuad pantai timur itu.

“Bukan saya mahu keluar tetapi keadaan kewangan pasukan ini mendesak saya untuk keluar.

“Saya telah memberi tempoh masa lama dan menunjukkan sikap profesional tetapi ini bukan cara sesebuah pengurusan profesional,” katanya.

Sementara itu, Mustafa turut mengikut jejak rakannya sambil menganggap kegagalan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyelesaikan gaji pemain sebagai faktor dia keluar daripada pasukan tersebut.

“Betul, saya sudah tinggalkan Kelantan. Sama seperti Cassio kerana masalah kewangan. Saya sayangkan Kelantan dan penyokongnya tetapi saya harus pergi.

“Ada dua kelab dari Liga Thailand yang menawarkan tempat kepada saya tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan,” katanya.

Pemergian dua awang import itu menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah bakal menghadapi enam perlawanan dengan hanya bersandarkan kepada kudrat pemain tempatan.

Sebelum ini, dua pemain import iaitu Raul Taragona (Uruguay) dan Flavio Beck Junior (Brazil) terlebih dahulu mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan tersebut.

 

 

Komen anda