Kelantan United buru tiga mata

1031

 

PASUKAN Kelantan United FC turun dengan misi memburu kemenangan sulung apabila berdepan Glory United FC dalam aksi pembuka tirai Liga M3 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok lapor RIFQIE RUZAIEN.

Presiden merangkap pengurus Kelantan United FC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pasukannya perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan meraih tiga mata apabila melayan kunjungan kelab dari Pulau Langkawi itu.

“Bercakap mengenai perlawanan pertama ini, sudah pasti Kelantan United mahu bermula dengan langkah kanan dan misi kita adalah menewaskan Glory United FC malam esok .

“Kita akan berusaha memungut mata penuh pertama ini dan saya percaya jika pemain beraksi mengikut arahan jurulatih tidak ada masalah untuk kita mengalahkan pasukan pelawat itu,” katanya kepada Sukan Sinar hari ini.

Menurutnya lagi, Kelantan United FC bukan sahaja berada pada tahap terbaik malah tidak sabar untuk memulakan saingan liga amatur itu setelah menjalani latihan pra musim sejak Januari lalu.

Tambahnya lagi, kejayaan melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas menyingkirkan dua kelab di pusingan kelayakan dan pertama turut menyuntik semangat skuad kendalian Zahasmi Ismail

“Sandaran kita pasti kepada penyerang Fakhrulzaman (Wan Abdullah Zawawi) yang meledak enam gol dalam kempen Piala FA selain dua tenaga import Zozimar (Elanos) dan Seydou (Sako).

“Saya juga harap para penyokong bola sepak dapat hadir ke stadium memberi sokongan kerana ini aksi pertama kita di gelanggang sendiri, musim ini,” katanya.

Komen anda